Jenama semula Pasar Karat sempena Tahun Melawat Johor

Bazar JB bakal dijenamakan semula bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Bazar JB bakal dijenamakan semula bagi menarik lebih ramai pengunjung.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menjenamakan semula Bazar JB atau lebih dikenali sebagai Pasar Karat sempena Tahun Melawat Johor 2020.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata Bazar JB akan menjadi salah sebuah produk pelancongan ikonik di pusat bandar ini.

Katanya, pelbagai usaha akan dilaksanakan termasuk penyediaan medan selera berkonsepkan 'food truck', penyusunan semula petak perniagaan berdasarkan jenis produk dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV)

"Selain itu antara cadangan diberi adalah dengan meletakkan tanda arah,wujudkan kaunter informasi, penguatkuasaan lesen bergambar dan jenis jualan peniaga di setiap petak.

"Kemudian membina mercu tanda atau pintu gerbang, naik taraf pencahayaan sekitar bazar, penggunaan khemah seragam.

"Saya percaya melalui usaha ini, Bazar JB akan berjaya menarik lebih ramai pengunjung domestik dan luar negara serta berupaya menjana ekonomi serta pendapatan warga bandar raya," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh di MBJB, semalam.

Menurutnya, pihaknya telah mengadakan pertemuan dan berdialog dengan peniaga pada 18 Ogos lalu bagi menjelaskan perkara itu selain membincangkan isu-isu berkaitan.

"Antara isu yang telah dibincangkan dalam pertemuan ini berkaitan sampah sarap yang ditinggalkan selepas waktu perniagaan dan tunggakan bayaran lesen oleh peniaga yang mencecah RM52,000.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga isu meninggalkan kenderaan berniaga di tapak selepas waktu perniagaan, meletakkan barangan perniagaan atau khemah sebelum waktu operasi bazar bermula serta beberapa isu lain," katanya.

Katanya, MBJB telah mengambil keputusan mengutarakan permasalahan itu agar ia dapat diselesaikan secara menyeluruh.

Sejak ditubuhkan 10 Januari 2009 yang bertujuan menghidupkan suasana bandar JB pada waktu malam, seramai 329 peniaga telah berdaftar dengan MBJB bagi menjalankan perniagaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!