'Tak praktikal tingkat umur persaraan ketika ini'

Datuk Shamsuddin Bardan
Datuk Shamsuddin Bardan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemain industri menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.

Presiden Persekutuan Majikan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, tidak praktikal untuk meningkatkan umur persaraan ketika ini.

"Sebenarnya jika kita lanjutkan usia persaraan, ia akan menimbulkan banyak isu lain antaranya sama ada mereka yang telah berumur sesuai untuk bekerja di sesetengah sektor terutama pembinaan, perladangan dan juga industri berat.

"Dan kedua, mengenai tahap kesihatan kerana sesetengah mereka memang sudah tidak larat dan selalu sakit bila mencapai usia 60 tahun. Sudah tentu akan menimbulkan banyak isu seperti kos perubatan yang perlu ditanggung majikan dan meningkatkan umur 65 itu memang tidak praktikal," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum itu, Dr Mahathir berkata, tiada keperluan untuk melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada keperluan lanjut had umur bersara kepada 65 tahun: Dr Mahathir

Beliau setuju dengan pendapat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengekalkan had umur bersara pada 60 tahun agar tidak menyekat peluang pekerjaan generasi muda.

Tambah Samsuddin, apa yang boleh kerajaan lakukan sekarang adalah menggalakkan majikan untuk mengambil mereka yang berusia ini bekerja, tetapi bukan secara mandatori.

Artikel Berkaitan:

"Ambil secara sukarela, bagi peluang kepada mereka yang masih sihat," katanya lagi.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar had usia bersara dilanjutkan kepada 65 tahun seperti di negara-negara maju termasuk Singapura.

Bagaimanapun semalam, Syed Saddiq yang membantah cadangan itu berkata, kerajaan harus memberi fokus untuk menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada generasi muda dan bukan menyekat potensi mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq bantah cadangan MTUC naik had umur bersara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!