Artis versatil: Pertaruh bakat atau syok sendiri?

P Ramlee, Afdlin Shauki, Sherry Al-Hadad dan Zizan Razak
P Ramlee, Afdlin Shauki, Sherry Al-Hadad dan Zizan Razak
A
A
A

PERSAINGAN untuk menempatkan diri dalam bidang seni dilihat semakin sengit. Setiap hari ada sahaja muka baharu yang tampil mewarnai industri hiburan tanah air.

Sama ada bersandar pada bakat atau sebaliknya, masing-masing ghairah untuk mencari ruang dan peluang untuk tampil ke hadapan.

Melihat kepada situasi persaingan itu jugalah, semakin ramai artis yang berusaha menunjukkan kepelbagaian bakat seni supaya kekal bertahan.

Apabila mula dikenali dalam bidang seperti lakonan, nyanyian, pengacaraan dan lain-lain, mereka mula memasang strategi untuk melebarkan sayap ke cabang seni berbeza.

Pendekatan sebegini diambil mungkin kerana mereka berasakan dengan mempelbagaikan kebolehan itu, banyak peluang kerja akan menyebelahi selain mampu meningkatkan populariti pada mata umum.

Justeru, tidak hairanlah apabila semakin ramai pelakon yang teruja untuk merakamkan lagu, penyanyi yang semakin seronok di lokasi penggambaran, pelawak yang aktif di pentas pengacaraan ataupun di konti radio dan sebagainya.

Sekiranya mereka memang mempunyai bakat atau potensi yang sama dalam bidang seni yang lain, tidak salah untuk mencuba mengembangkan bakat yang ada.

Kepelbagaian bakat yang ada itu harus dikembangkan dan digunakan dengan sebaiknya untuk menaikkan kerjaya seni dan industri seni amnya.

Artikel Berkaitan:

Lihat sahaja kejayaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjaya membuktikan bakat serba bolehnya menerusi pelbagai cabang seni. Dialah penerbit, pengarah, penulis skrip, pelakon, pelawak, pencipta lagu, penyanyi dan sebagainya.

Menariknya, beliau berjaya dalam hampir kesemua bidang seni yang diceburi dan memberikan impak yang cukup mendalam kepada masyarakat sehingga ke hari ini.

Begitu juga dengan beberapa selebriti era kini yang turut mempunyai potensi dan bakat yang besar dalam cabang seni berbeza, selain bidang asal yang mereka ceburi itu.

Antaranya seperti Datuk Afdlin Shauki yang dikenali sebagai penyanyi, pelawak, pelakon, pengarah dan penerbit; Zizan Razak (pelawak, pelakon, pengacara, penyanyi); Alif Satar (penyanyi, pelakon, pengacara) dan Sherry Al-Hadad (pelakon, pelawak, pengacara).

Kesan kepada industri

Bagaimanapun, biarlah apa yang dilakukan itu benar-benar ada dalam kemampuan diri. Jangan sampai cabang seni baharu yang diceburi itu mengganggu gugat reputasi sedia ada.

Potensi diri harus terlebih dahulu dinilai sebelum melakukan sesuatu. Ukur baju biarlah di badan sendiri dan yang penting, apa yang kita lakukan itu tidak merugikan diri sendiri.

Jangan kerana mempunyai kelebihan dari sudut populariti, seseorang artis itu ghairah terlibat dalam pelbagai cabang seni, sedangkan kemampuan sebenar tidak berada di tahap itu.

Ada pelakon yang menjadi penyanyi tetapi sebenarnya tidak boleh menyanyi namun tampil melancarkan single. Tidak kurang juga penyanyi yang tiba-tiba masuk ke dalam bidang lakonan tetapi tampil dengan reputasi yang sangat mengecewakan.

Situasi inilah yang secara tidak langsung telah memberi kesan negatif kepada industri seni tanah air. Malah turut memberi gambaran yang tidak tepat tentang perkembangan seni tanah air secara amnya kepada orang luar.

Justeru, elakkan berbuat sesuatu yang di luar kemampuan diri. Jika tiada bakat dalam cabang seni yang lain, tidak perlulah memaksa diri semata-mata kerana mempunyai kelebihan populariti yang ada.

Adalah lebih baik fokus pada apa yang sedang dilakukan dalam cabang seni sedia ada itu dengan memperbaiki segala kekurangan diri sekali gus memberikan peluang tersebut kepada mereka yang benar-benar berkebolehan dalam bidang tersebut.

Dalam apa juga yang dilakukan, biarlah berpijak di bumi yang nyata. Jangan syok sendiri dalam memperdagangkan bakat seni.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!