Hujan renyai tidak halang ibu bapa temani anak UPSR
PONTIAN - Hujan renyai tidak menghalang ibu bapa dan penjaga hadir memberi kata-kata semangat buat 162 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan ( SK) Bandar Pontian di sini, menduduki peperiksaan Ujian Percapaian Sekolah Rendah ( UPSR) hari ini.
Ibu bapa dan penjaga bersama calon-calon tidak ketinggalan membaca surah yasin sebelum peperiksaan kertas pertama bahasa Melayu bermula.
Sarapan pagi iaitu roti turut diberikan percuma Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama penyumbang kepada calon UPSR.
Seorang ibu yang juga guru, Nor Amidah Md Amin, 40, berkata, dia berasa teruja untuk menghantar anak keduaya pergi ke sekolah menduduki ujian tersebut.
"Alhamdulilah, peperiksaan percubaan sebelum ini anak kami mendapat keputusan yang baik. Saya dan suami sentiasa berdoa agar dia dapat mencapai keputusan cemerlang pada UPSR sebenar," katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Bandar Pontian, Mazli Hashim berkata pihaknya menyasarkan untuk mendapatkan 100 peratus lulus dalam semua subjek UPSR pada tahun ini.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan kepada peningkatan pencapaian murid yang cukup memberangsangkan setiap kali penilaian diadakan.
"PIBG banyak membantu dan memberikan sokongan kepada usaha sekolah meningkatkan prestasi murid dengan mengadakan tuisyen, perkampungan UPSR serta motivasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!