32,163 calon duduki UPSR di Kedah hari ini
ALOR SETAR - Seramai 32,163 calon mengambil Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 di Kedah bermula hari ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam satu kenyataan berkata, 30,945 calon mengambil peperiksaan UPSR di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 1,218 calon pula di sekolah swasta di seluruh negeri Kedah.
Menurutnya, Kuala Muda Yan muncul daerah paling ramai calon dengan 8,863 orang manakala Padang Terap adalah daerah paling sedikit calon dengan 1,125 orang.
"Sepanjang peperiksaan tersebut, seramai 2,440 pegawai akan bertugas di 573 pusat peperiksaan di Kedah.
"18 calon berkeperluan khas mengambil peperiksaan UPSR di Kedah tahun ini seramai 13 calon masalah pendengaran (moderasi) dan 5 calon masalah penglihatan (rabun)," katanya.
Tambah kenyataan itu, SK Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani muncul pusat peperiksaan paling ramai calon iaitu sebanyak 354 calon.
Manakala tiga pusat peperiksaan mencatatkan calon paling sedikit dengan hanya satu calon sahaja iaitu SJK (T) Ladang Kim Seng di Baling, SJK (C) Pei Eng (Yan) dan SJK (T) Ladang Dablin Bahagian 7 (Kulim).
Ujian pencapaian tersebut akan dijalankan pada 4 dan 5 September serta 10,11 dan 12 September ini di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!