Patah tangan bukan halangan!
PASIR MAS - Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetap bersemangat menduduki peperiksaan itu meskipun mengalami patah tangan kanan akibat kemalangan pada 15 Ogos lalu.
Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Muhammad Aiman Hakim Harun, 12, berkata, dia tetap bersyukur dapat meneruskan peperiksaan tersebut walaupun berdepan sedikit cabaran.
"Sebelum ini saya menulis menggunakan tangan kanan.
"Hari ini saya dibantu oleh pengawas peperiksaan yang akan menulis setiap jawapan. Rasa kekok tapi ia bukan halangan," katanya hari ini.
Menurutnya, sokongan padu yang diterima daripada guru-guru dan rakan-rakannya membuatkannya lebih bersemangat untuk menjawab UPSR.
Sementara itu, Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, Muhd Afandi Yahya berkata, seramai 3,541 calon menduduki UPSR bagi tahun ini di daerah berkenaan.
Katanya, daripada jumlah tersebut terdapat seorang calon persendirian menduduki ujian tersebut.
“Sebanyak 65 pusat peperiksaan telah beroperasi membabitkan Sekolah Kebangsaan (53), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (3), Yayasan Islam Kelantan (7) dan swasta (2),” katanya.
Muhd Afandi berkata, pihaknya berharap kesemua calon dapat menjaga kesihatan dan keselamatan sepanjang peperiksaan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!