Biar dituduh rasis, asalkan Melayu bangkit

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad memukul gendang sebagai simbolik perasmian pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto: Mohd Izari Rosli
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad memukul gendang sebagai simbolik perasmian pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto: Mohd Izari Rosli
A
A
A

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kisah dituduh rasis kerana mendedahkan nasib Melayu dan Bumiputera yang hidup dalam kesusahan.

Dr Mahathir menyatakan, beliau menerima sekiranya namanya buruk asalkan bangsa Melayu sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka pada masa depan.

Katanya, Bersatu bersidang bukan sekadar memenuhi perlembagaan parti atau takutkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebaliknya, persidangan ini diadakan dengan hasrat menyelamatkan dan memajukan orang Melayu.

“Kita bersidang kerana kita berhasrat memulihkan maruah bangsa kita. Inilah tujuan kita berpolitik. Bukan kerana nak jadi Perdana Menteri, atau Menteri, atau Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Kita berpolitik supaya kita tidak lagi akan bergantung kepada politik. Kita berpolitik untuk menyelamat dan membebaskan kita melalui kejayaan sebagai satu bangsa yang mampu bersaing dengan siapa sahaja, tiap seorang dari kita berdaya tahan sendiri tanpa bertongkat.

“Untuk perjuangan yang mulia ini, berkorbanlah apa sahaja. Hasil pengorbanan kita akan dihargai oleh anak cucu kita. Akan berkatalah mereka, jika tidak kerana pengorbanan oleh kita, maka akan tertinggallah mereka dipinggir hutan, miskin papa di tanah air mereka,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya terhadap kemerosotan yang dihadapi kaum Melayu.

“Ya. Saya akan dituduh rasis kerana pendedahan nasib Melayu dan Bumiputera ini. Tetapi selama lebih 70 tahun saya telah lihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa saya.

Artikel Berkaitan:

“Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan. Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain. Pemulihan berada di tangan kita. Usaha yang diperlukan tidak sebegitu besar. Insya-ALLAH akan terhasillah pengorbanan kita.

“Itulah pesanan saya. Peluang bagi menyampaikan ucapan seperti ini di tahun hadapan mungkin ada, mungkin tidak.

"Justeru, peluang ini tidak boleh dilepaskan. Diharap bangsaku akan tolak budaya lama dan cipta budaya baru, budaya yang tetap akan menyelamatkan kita,”ujar beliau.

Menurut Dr Mahathir, kaum tidak boleh ditukar, tetapi jurang antara miskin dan kaya boleh dikurangkan meskipun tidak dapat dihapuskan.

"Tidak bertanggungjawablah kita jika kita tidak cuba elak daripada rusuhan kaum dengan sekurang-kurangnya mengurangkan jarak antara miskin dan kaya.

"Melayu sekarang sudah keliru, kehilangan pemimpin, kehilangan haluan. Umno sudah tidak ada lagi.Parti mana lagi yang boleh mereka bergantung?

"Jikalau tidak Bersatu, parti mana? Mungkinkah Pas? Saya tak nak komen. Pilihlah Pas, ia bukan pilihan saya," ujar Dr Mahathir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!