Hanya dua calon duduki UPSR di SK Tanjong Jawa
SABAK BERNAM - Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Jawa mencatatkan hanya dua calon menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula di sini hari ini.
Guru Besarnya, Khaire Md Zen berkata, dua murid itu ialah Irdina Iwani Abd Jalil, 12, dan Nurul Zaidah Arshad, 12.
Menurutnya, kedua-dua calon itu menduduki kertas Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan hari ini.
"Sekolah ini hanya mempunyai seorang calon pada tahun lalu dan dua calon pada tahun sebelumnya.
"Jumlah teramai calon menduduki peperiksaan itu iaitu seramai enam murid pada 2016," katanya.
Khaire berkata, SK Tanjong Jawa dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) kerana mempunyai 15 murid sahaja iaitu dua di tahun enam, tahun lima (3), tahun empat (4), tahun tiga (3), tahun dua (2) dan seorang di tahun satu.
SK Tanjong Jawa sebelum ini diumumkan sebagai Sekolah Kebangsaan terbaik daerah Sabak Bernam apabila dua calon UPSR sekolah itu bukan sahaja lulus 100 peratus, malah memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.20 pada UPSR 2015.
Pencapaian berkenaan sekali gus melayakkan SK Tanjong Jawa menerima empat anugerah kecemerlangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Khaire berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan gred purata sekolah (GPS) 2.0 dan memperoleh keputusan lulus 100 peratus dalam UPSR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!