Lawatan kerja Dr Mahathir ke Rusia hadiri EEF 2019

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR- Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Rusia bermula hari ini bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur 2019 (EEF 2019) ke-lima (5th Eastern Economic Forum) yang akan berlangsung di Vladivostok.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan Perdana Menteri itu atas jemputan rasmi Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Dr Mahathir dijangka menyampaikan ucap tama semasa sesi plenari EEF 2019 bersama pemimpin berkenaan disusuli pertemuan dua hala antara delegasi Malaysia dan Rusia.

"Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia dalam usaha Malaysia untuk memperkukuh lagi jalinan persahabatan dan kerjasama dengan Persekutuan Rusia," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut lawatan Dr Mahathir ke negara itu diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darrel Leiking serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

EEF merupakan satu forum antarabangsa tahunan yang semakin mendapat perhatian antarabangsa. Forum tersebut akan membincangkan prospek kerjasama ekonomi selaras dengan perkembangan pesat ekonomi di Asia Timur.

Menurut kenyataan tersebut, lawatan Dr Mahathir itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

"Ia juga satu platform terbaik bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan, pelaburan, serta kerjasama baharu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) untuk kepentingan pembangunan ekonomi negara," menurut kenyataan itu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!