'Video intim jadi bahan ketawa rakyat Indonesia'

Mohamad Ali (depan, empat dari kanan) menunjukkan laporan siasatan forensik mengaitkan Mohamed Azmin di hadapan Istana Negara pagi tadi.
Mohamad Ali (depan, empat dari kanan) menunjukkan laporan siasatan forensik mengaitkan Mohamed Azmin di hadapan Istana Negara pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes video intim mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi bahan ketawa negara luar termasuklah negara jiran, Indonesia.

Timbalan Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, beliau baru pulang dari Jakarta, Indonesia dan berasa malu apabila rakan-rakannya mentertawakan beliau disebabkan kes itu.

“Ramai rakan-rakan saya hairan dan ketawa. Mana mungkin apabila melakukan jenayah secara berdua, seorang telah mengaku tapi seorang lagi tidak mengaku.

“Kata mereka, ini kerja mudah, paling senang apabila salah seorang dah mengaku, jadi ia memudahkan tugas polis untuk membuat siasatan, namun sampailah sekarang, hampir dua bulan lebih ini kita masih belum dapat hasil,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan laporan siasatan forensik video intim tersebut di Istana Negara pagi tadi.

Menurut beliau, pihaknya berbuat demikian sebagai langkah terakhir dalam usaha memohon polis terutamanya Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengambil tindakan dalam kes berkenaan.

Tegas Mohamad Ali, sekiranya tiada juga tindakan dalam tempoh dua minggu berikutnya, mereka akan menyebarkan laporan siasatan forensik itu kepada pengundi di Parlimen Gombak.

“Kami telah mencetak hampir 100,000 dapatan siasatan forensik ini untuk kita berikan kepada seluruh pengundi di Parlimen Gombak untuk mereka kenal siapa sebenarnya Mohamed Azmin ini.

“Kita mahukan pemimpin yang akan menjadi pemimpin negara ini benar-benar bersih. Kita mahukan pemimpin yang benar-benar baik akhlaknya dan benar-benar dapat meneruskan tanggungjawabnya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, membuat pengakuan mengejutkan apabila mendakwa dia merupakan salah seorang lelaki dalam video intim mirip seorang menteri kanan yang tular baru-baru ini.

Lelaki tersebut turut menamakan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin berada dalam video berkenaan.

Begitupun, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menganggap ia adalah komplot jahat untuk menjatuhkan karier politiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya tahu siapa dalang sebar video, kata Azmin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!