Strategi sebelum melabur dalam hartanah
Memetik maklumat yang dikongsikan oleh hartabumi.com menyatakan bahawa sebelum melakukan pelaburan hartanah, terdapat pelbagai perkara yang perlu diutamakan.
Mereka yang berminat menjadi pelabur hartanah perlu mendapatkan ilmu hartanah secukupnya, membina asas kewangan peribadi yang kukuh, semak kelayakan pinjaman perumahan terlebih dahulu dan kaji pasaran hartanah.
Timba ilmu
Perkara pertama yang perlu dilakukan sebagai pelabur hartanah ialah mendapatkan ilmu berkaitan hartanah secukupnya kerana ilmu yang kukuh merupakan asas pelaburan paling penting.
Tanpa ilmu, seseorang pelabur hartanah itu mungkin akan terdorong untuk membuat pelbagai kesilapan yang besar.
"Untuk mendapatkan ilmu hartanah, bakal pelabur boleh menghadiri seminar atau pelbagai program berbayar. Malah, boleh juga mendapatkan pelbagai perkongsian ilmu hartanah percuma menerusi laman sesawang yang bukan sahaja dalam bentuk perkongsian artikel malah pelbagai pilihan video menarik untuk ditonton. Jadi, jangan sia-siakan peluang ini," kata portal itu.
Asas kewangan
Selain mendapatkan ilmu hartanah yang secukupnya, pelabur itu juga perlu membina asas kewangan peribadi yang kukuh.
"Asas kewangan peribadi yang kukuh akan membantu pelabur menghadapi pelbagai kemungkinan yang tidak dijangka. Hal ini kerana pelaburan hartanah mempunyai risikonya yang tersendiri.
"Jadi untuk sentiasa bersedia menghadapi pelbagai risiko pada masa akan datang, kukuhkan asas kewangan peribadi terlebih dahulu sebelum mengorak langkah pertama memasuki bidang pelaburan hartanah," katanya.
Semak kelayakan pinjaman
Seterusnya hartabumi.com menyatakan, apabila pelabur telah yakin dengan asas kewangan peribadi yang kukuh, langkah seterusnya ialah membuat semakan kelayakan pinjaman perumahan yang mampu dibeli.
Secara umumnya, kelayakan pinjaman perumahan yang mampu dimiliki akan dikira berdasarkan Debt Service Ratio (DSR).
DSR akan menilai kemampuan kewangan bagi memiliki rumah berdasarkan pendapatan dan juga komitmen bulanan.
"Dengan membuat pengiraan DSR terlebih dahulu, anda akan dapat membuat anggaran perbelanjaan hartanah yang mampu dimiliki dan mengelakkan membeli hartanah di luar kemampuan dan juga kegagalan mendapatkan pinjaman dari pihak bank," katanya.
Kaji pasaran
Portal itu memberitahu, sebelum melakukan sebarang pembelian hartanah, amatlah perlu membuat kajian pasaran hartanah yang mahu dimiliki.
Kajian terhadap pasaran hartanah perlu dilakukan merangkumi aspek pasaran hartanah yang ingin dibeli sama ada ia rumah undercon, subsale atau lelong.
Malah, perlu juga mengkaji perihal harga pasaran rumah yang ingin dibeli serta harga sewa mengikut pasaran.
"Dengan membuat kajian pasaran hartanah terlebih dahulu, anda akan dapat membuat perbandingan terbaik bagi memilih hartanah pelaburan yang mampu mendatangkan keuntungan.
"Mereka yang berminat untuk memiliki hartanah juga perlu melakukan pelbagai perkara sebelum melakukan pelaburan hartanah antaranya lakukan saringan penyewa berkualiti.
"Sedikan perjanjian sewa, sediakan simpanan kecemasan bagi rumah pelaburan dan ketahui kos menjual hartanah," katanya.
Saringan penyewa
Perlu diketahui bahawa dalam bidang pelaburan hartanah, sudah semestinya pelabur yang juga pemilik hartanah terlibat akan berurusan dengan bakal penyewa.
Proses saringan bagi penyewa sering dipandang remeh oleh kebanyakan pelabur baharu kerana menganggap proses itu sebagai sesuatu yang leceh.
"Hal ini perlu diberi perhatian kerana jika tidak diberi perhatian, di kemudian hari sekiranya terjadi perkara berbangkit seperti penyewa enggan membayar sewa sehingga tertunggak berbulan-bulan ia sudah pasti memberi masalah kepada pemiliki.
"Justeru, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian ketika membuat saringan bagi mendapatkan penyewa yang berkualiti.
"Antaranya ialah dapatkan maklumat peribadi penting bakal penyewa dan maklumat mengenai sumber pendapatan penyewa seperti pekerjaan dan komitmen bulanan.
"Maklumat ini walaupun nampak remeh, tetapi amat penting bagi memastikan pemilik hartanah tahu mengenai bakal penyewa yang akan berurusan. Lebih baik beringat, sebelum tertipu!" katanya.
Selain itu katanya, sediakan perjanjian secara hitam putih dan sah dari segi undang-undang sangat penting bagi memastikan hak pelabur hartanah sebagai tuan rumah dan juga hak penyewa sentiasa dilindungi.
Perjanjian sewa itu harus menyatakan dengan jelas mengenai hak tuan rumah dan juga hak peribadi penyewa.
Pastikan kesemua syarat dalam perjanjian itu dinyatakan dengan jelas kepada penyewa dan mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.
Simpanan kecemasan
Jangan abaikan simpanan kecemasan untuk rumah pelaburan.
"Anda mungkin sudah mempunyai penyewa yang berkualiti dan sistem penyewaan yang teratur, namun pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada masa hadapan.
"Jangan lupa untuk menyediakan simpanan kecemasan bagi rumah pelaburan anda. Simpanan ini perlu konsisten walaupun dalam jumlah yang sedikit, kerana sedikit atau banyak, jumlah ini boleh membantu pemilik hartanah tanpa perlu mengganggu komitmen kewangan bulanan.
"Pelabur hartanah perlu mengetahui perkara yang perlu dilakukan selepas melakukan pelaburan hartanah iaitu ketahui kos bagi menjual rumah dan strategi pengiklanan yang berkesan," kata portal itu.
Dalam pada itu, pelaburan hartanah yang mahu mendapatkan keuntungan dengan menjual rumah pelaburan, perlu memikirkan bukan kos yang terlibat bagi menjual rumah.
"Secara asasnya, antara kos yang diperlukan bagi menjual rumah ialah cukai keuntungan harta tanah, kos ini perlu dibayar hanya apabila pelabur memperoleh keuntungan daripada hartanah yang dijual, kos peguam dan kos ejen hartanah.
"Bagi proses undang-undang dalam jual beli rumah, memiliki peguam bagi urusan ini merupakan satu kemestian, sementara mereka yang mempunyai kekangan masa dan tenaga untuk menguruskan urusan jual beli hartanah, boleh mendapatkan khidmat ejen hartanah bagi menguruskan proses jual beli rumah dengan caj yang berpatutan dan kos tambahan," katanya.
Strategi iklan
Bagi memastikan rumah pelaburan berada dalam pasaran pembeli, pelabur perlu bijak mengambil peluang dan strategi yang berkesan bagi mengiklankan rumah.
Pengiklanan boleh dilakukan secara offline menggunakan banting atau risalah dan juga secara atas talian dengan mengiklankan di laman web hartanah yang boleh dipercayai.
"Sesetengah laman web atau aplikasi pengiklanan mungkin memerlukan pelabur mengeluarkan sedikit modal bagi pengiklanan.
"Membuat pelaburan hartanah tidak semestinya menjanjikan keuntungan dan perkara yang indah-indah belaka, tetapi dengan strategi dan tips yang betul, proses pelaburan hartanah akan menjadi lebih mudah dan lebih teratur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!