Peniaga dihukum gantung sampai mati

Tertuduh, Wan Mohd Ibnul Hajar Muhammad, 29, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine, dua tahun lalu.
Tertuduh, Wan Mohd Ibnul Hajar Muhammad, 29, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine, dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Wan Mohd Ibnul Hajar Muhammad, 29, yang kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah menerusi keterangan tertuduh sepanjang prosiding berjalan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 55.58gram di tepi jalan Peringkat 3, Bandar Cheneh, Kemaman, kira-kira jam 1 pagi, pada 15 September 2017.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39b(2) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan tidak kurang 15 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Tetuan Ahmad Zaidi & Partners.

Berdasarkan fakta kes, semasa di lokasi tertuduh didapati berada di tepi jalan seolah menunggu seseorang sambil memegang sesuatu.

Sejurus dihampiri polis, tertuduh melarikan diri sebelum berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.

Artikel Berkaitan:

Hasil pemeriksaan, menemui di bawah tindihan perut tertuduh satu beg berwarna merah jambu mengandungi serbuk dan ketulan kristal dipercayai dadah sebelum kesemua dirampas untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, suasana pilu di luar kamar mahkamah apabila ahli keluarga yang hadir masing-masing menangis dan berpelukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!