Hari paling bersejarah 14 September ini: Tuan Ibrahim
TEMERLOH - Kerjasama UMNO dan Pas secara rasminya akan dimeterai menerusi piagam kerjasama kedua-dua parti terbesar Melayu itu pada 14 September ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menandatangani piagam yang menjadi detik bersejarah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari tersebut.
Menurutnya, 14 September ini akan menjadi hari paling bersejarah di mana Pas dan UMNO akan menandatangani piagam bersama demi penyatuan ummah.
"Selepas itu piagam ini akan turun ke semua negeri bagi memperkasakan muafakat kedua-dua parti ini di peringkat akar umbi.
"Kita tahu bahawa muafakat ini akan berdepan pelbagai halangan oleh parti pemerintah Pakatan Harapan (PH) yang mana mereka akan wujudkan pelbagai situasi supaya muafakat kita akhirnya akan gagal, sebab itu kita perlukan banyak pertemuan lagi," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar sempena Jelajah Himpunan Penyatuan Ummah Peringkat Negeri Pahang di Dataran Sri Ketumbit malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang yang Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, pelbagai program akan diadakan bermula pada 13 September ini sempena pemeteraian piagam berkenaan seperti wacana ilmiah dan ceramah perdana.
"Selain itu, Wanita UMNO dan Muslimat Pas serta Pemuda kedua-dua parti juga akan mengadakan program bersama sempena pemeteraian tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!