Pemandu lori komen hina kaum didakwa

Suspek ketika di bawah ke Mahkamah Majisteret Port Dickson, hari ini.
Suspek ketika di bawah ke Mahkamah Majisteret Port Dickson, hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengeluarkan komen perkauman berbaur provokasi pada 29 Ogos lalu.

Tertuduh C Bathu Malai, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak di sini hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia dengan sengaja menghina orang Melayu di laman media sosial Facebook menggunakan nama Darsheini Malai sehingga menyebabkan dan boleh menyebabkan provokasi.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan di pekan Jementah, Johor pada jam 5 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Eric Yeow Kok Heng.

Yeow memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan anak guamnya perlu menanggung isteri dan seorang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!