Tiada keperluan boikot: Mohd Azmi

Mohd Azmi Abdul Hamid. - FOTO ROSLI TALIB
Mohd Azmi Abdul Hamid. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

ALOR SETAR - Pengguna di negara ini perlu dididik dengan kefahaman yang betul untuk memilih produk halal dan tayyibah (berkualiti, baik dan selamat), tanpa perlu melancarkan kempen memboikot barangan bukan Islam.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, pada masa sama, pengeluar dan peniaga juga harus memahami sensitiviti pengguna Muslim di negara ini, supaya pengguna tidak terdedah kepada penipuan.

Menurutnya, sekiranya terdapat produk atau perkhidmatan didapati melanggar peraturan seperti salahguna logo halal, produk tidak selamat, mengeksploitasi harga, pengguna wajar menolak untuk membelinya.

“Logo atau simbol agama sering disalahguna oleh pengeluar dan peniaga. Menjadi tanggungjawab semua pihak agar salah laku dalam perniagaan tidak berleluasa kerana terlalu banyak produk yang tercemar dan tidak selamat berada dalam pasaran,” katanya.

Mohd Azmi berkata, pelbagai produk sama ada makanan hingga kepada kosmetik dan peralatan pengguna dibimbangi tidak selamat dari aspek kesihatan mahupun kesan kepada alam sekitar.

“Pengguna Muslim termasuk bukan Muslim boleh menggunakan kuasa pengguna untuk menolak produk berkaitan. Pihak berkuasa pula wajar bertindak menghalang produk terbabit dijual di pasaran,” katanya.

Menurutnya, pengguna Muslim juga harus melengkapkan diri dengan pengetahuan berkaitan produk dan perkhidmatan halal, sama ada produk keluaran dalam negara mahupun luar negara.

“Isu boikot tidak timbul kerana pengguna Muslim kini semakin tinggi kesedarannya terhadap keperluan menggunakan produk halal dan tayyibah. Pengguna harus utamakan barangan Malaysia dan sokong industri halal dan tayyibah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmi berkata, ekonomi negara akan dapat dikembangkan sekiranya semua pihak mematuhi semua syarat halal dan tayyibah, serta menjadi amalan peniaga dan pengguna.

“Bagi pengguna Muslim, pasti produk dan khidmat yang patuh syariah menjadi pilihan. Jadi semua pengeluar produk perlu akur bahawa pasaran produk halal dan tayyibah perlu diutamakan jika mahu tembusi pasaran Muslim,” katanya.

Menurutnya, sekiranya pengeluar mengutamakan produk patuh syariah, sudah tentu pasaran di negara ini akan terbuka luas kepada semua, tanpa mengira pengguna Muslim atau bukan Muslim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!