Kebajikan pekerja kilang terkesan kebocoran ammonia dijaga: Exco
MELAKA - Kerajaan Melaka akan memastikan kebajikan kira-kira 800 pekerja kilang pemprosesan ayam HLRB Processing Sdn Bhd dijaga setelah operasinya dihentikan sementara susulan kejadian kebocoran saluran paip gas ammonia, semalam.
Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) telah berbincang dengan pengurusan kilang terbabit terutama melibatkan pembayaran gaji pekerja berkenaan.
Beliau berkata, melalui perbincangan pihak kilang bersetuju untuk membayar gaji semua pekerja sepanjang tempoh kilang itu ditutup sementara untuk membolehkan siasatan terperinci terhadap insiden itu dapat dilakukan.
"Sudah pasti akan timbul kerisauan kepada pekerja terhadap pendapatan mereka memandangkan kilang ditutup dalam masa satu hingga dua minggu atau lebih kerana tidak dibenarkan beroperasi hingga siasatan selesai.
"Gaji pekerja akan tetap dibayar majikan selain pampasan sewajarnya turut dipertimbangkan kepada mangsa yang terjejas," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa yang masih mendapatkan rawatan akibat terhidu gas ammonia di Hospital Melaka, di sini hari ini.
Dalam kejadian kejadian kira-kira 11.40 pagi semalam, berlaku kebocoran saluran paip gas ammonia di kilang itu menyebabkan 31 pekerjanya termasuk enam pekerja warga asing dihantar ke Hospital Jasin dan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Mohd Rafiq berkata, 25 daripada 31 pekerja berkenaan telah dibenarkan pulang manakala 11 orang termasuk tiga warga asing masih lagi mendapatkan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Operasi kilang berkenaan dihentikan sementara dan mendapat bantuan forensik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk siasatan lebih terperinci untuk mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.
Katanya, JKKP juga akan memantau mengenai pematuhan langkah keselamatan di kilang itu dan keadaan di kawasan berkenaan perlu dipastikan selamat sepenuhnya sebelum dibenar untuk beroperasi semula. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Bomba ambil langkah lepaskan gas ammonia ke udara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!