Negara bakal iktiraf lesen memandu dari negara asing
PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan menjangkakan dasar terkini berkaitan pengiktirafan lesen memandu daripada negara asing akan dilaksanakan pada awal November ini.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia adalah berdasarkan permohonan daripada warganegara Malaysia yang telah ke luar negara sama ada untuk belajar atau bekerja dan telah mendapatkan lesen memandu negara berkenaan sebelum mendapatkan lesen negara ini.
Menurutnya, dasar itu turut termaktub bagi peserta-peserta program Malaysia My Second Home (MM2H) di atas beberapa pertimbangan yang ditetapkan.
“Warganegara Malaysia yang sudah memiliki lesen dari luar negara ada membuat permohonan agar diberi pertimbangan khas supaya mereka tidak perlu lagi menjalani semula proses untuk mendapatkan lesen di negara ini.
“Jadi kita buat pertimbangan khas untuk memudahkan warganegara Malaysia untuk mengubah lesen sedia ada mereka kepada negara ini tanpa melalui proses peperiksaan semula,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Menurutnya, warganegara Malaysia dan peserta MM2H yang terlibat akan diberikan kelulusan untuk membuat pertukaran lesen memandu mereka berdasarkan beberapa peraturan.
“Lesen penuh memandu negara asal yang dipunyai individu berkenaan adalah masih sah dan berkuatkuasa dan permohonan yang berjaya lesen memandu asalnya akan ditukarkan kepada lesen percubaan (Lesen P) Malaysia.
“Bagaimanapun warganegara Malaysia dan peserta MM2H yang mempunyai lesen dari kalangan negara bukan penjanji kepada sebarang triti atau perjanjian dengan Malaysia diwajibkan untuk menduduki kelas dan ujian teori undang-undang sahaja,” katanya.
Jelasnya, bagi peserta MM2H lesen memandu akan dibatalkan serta merta sekiranya terdapat pelanggaran syarat program dan didapati bersalah melanggar undang-undang serta peraturan jalan raya di negara ini.
“Sebarang garis panduan dokumen dan perincian pelaksanaan dasar itu sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Tarikh kuatkuasa dasar baharu ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat bagi membolehkan JPJ menyelesaikan semua proses berkaitannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!