'Kit Siang angkuh, kenyataan makan diri'
JOHOR BAHRU - Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang begitu yakin bahawa UMNO akan musnah dengan sendirinya adalah perakuan yang angkuh dan hanya memakan dirinya sendiri.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ia selepas melihat keadaan terkini politik tanah air yang sudah mula kembali kepada Barisan Nasional (BN) selepas kegagalan di tahun awal pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
"Saya tertarik dengan tulisan veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyarankan kerajaan supaya tidak mengharamkan UMNO dan biarkan saja UMNO musnah dengan sendirinya.
"Untuk pengetahuan beliau, UMNO tidak akan musnah seperti mana diharapkannya. Bahkan saya boleh katakan dengan yakin bahawa kini UMNO semakin kuat dan utuh.
"Rakyat sedar akan sumbangan besar kepada negara sejak kemerdekaan sehinggalah BN tumbang dan rakyat juga yakin bahawa UMNO bukan parti rasis tetapi berjaya menyatukan pelbagai kaum di bawahnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Hairi berkata, berbanding UMNO, DAP dilihat tiada apa yang boleh rakyat negara ini banggakan selain daripada perpecahan dan kenyataan berbaur perkauman diungkapkannya sejak dahulu.
"Jika Lim Kit Siang tidak percaya, beliau boleh meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.
"Nanti kita boleh lihat UMNO atau DAP yang akan musnah.
"Sekarang ini sokongan rakyat kepada UMNO semakin kuat, jumlah keahlian UMNO juga meningkat setiap bulan sebab rakyat sudah muak dan bosan dengan permainan politik DAP yang bersifat perkauman," katanya.
Selain itu katanya, penerimaan rakyat kepada UMNO juga kembali meningkat kerana golongan itu sudah bosan dan berang dengan janji kosong dan sekadar penipuan untuk memenangi pilihan raya semata-mata.
"Sekarang kos sara hidup semakin mencengkam, harga barang tidak turun, harga minyak tak berubah, tol belum lagi dihapuskan, peluang pekerjaan untuk anak muda tak muncul-muncul, nilai mata wang terus menjunam dan akhirnya manifesto diisytihar bukan kitab suci yang perlu dipatuhi.
"Rakyat mahu perutnya terisi, namun harga komoditi sawit terus merudum, pelabur mula angkat kaki, anak Lim Kit Siang yang menjadi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terbukti gagal dan gagal membangunkan ekonomi negara," katanya.
Terdahulu, kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang disiarkan sebuah portal berita memaklumkan dirinya menyokong jika kerajaan tidak batalkan pendaftaran UMNO kerana parti itu akan musnah dengan sendirinya.
Dakwanya, perkara itu adalah kerana UMNO kini sudah berada dalam peringkat lanjut proses memusnahkan diri sendiri apabila ia melancarkan kempen kleptokrasi bersama Pas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!