KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak perempuan dicabul selepas kedua tangan dan kaki diikat oleh sepupunya di Kampung Belukar Jambu di sini Khamis lalu. Mangsa berusia 12 tahun yang turut ditutup kedua belah matanya juga dipaksa menelan objek tidak diketahui sehingga muntah. Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa yang berada di rumah didatangi sepupu lelakinya berusia 20-an meminta mangsa membelikan air di kedai berhampiran. Menurut sumber, suspek juga mengarahkan mangsa menghantar minuman tersebut ke rumahnya yang terletak berhampiran. "Semasa menghantar minuman itu, mangsa diminta masuk ke dalam rumah sebelum suspek menyuruhnya mencuba sehelai baju baru. "Tanpa sebarang syak, mangsa terus menukar baju tersebut dan semasa itulah secara tiba-tiba suspek menerkamnya sebelum mengikat kaki dan tangan serta menutup mata mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini. Sumber berkata, akibat ketakutan, mangsa hanya mendiamkan diri sebelum suspek bertindak mencabulnya dan menyumbat sesuatu objek ke dalam mulut sehingga termuntah. "Beberapa minit kemudian, ibu suspek pulang menyebabkan lelaki tersebut bergegas membuka segala ikatan pada mangsa dan terus melarikan diri. "Mangsa menceritakan kejadian kepada ahli keluarganya sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Chendering di sini. "Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.