Bayi tercampak keluar dari kereta stabil
TELUK INTAN - Bayi perempuan berusia sembilan bulan yang terbabit nahas hingga mengorbankan tiga nyawa termasuk ibunya di Kilometer 32 Jalan Langkap-Kampar, semalam kini berada dalam keadaan stabil.
Nur Afrina Miqaila mengalami kecederaan akibat tercampak keluar dari kereta dengan separuh badan terbenam dalam lumpur selepas kereta dinaiki terhumban dalam parit.
Bapanya, Mohd Aziz Mohd Yadi, 29, berkata, bayinya itu diselamatkan jururawat Klinik Desa Tanjung Keramat yang memberikan bantuan awal hingga anaknya sedar semula.
"Semalam keadaannya masih trauma sering terkejut-terkejut, tapi hari ini nampak dah ada perubahan positif.
"Alhamdulillah, keadaannya stabil dan makin pulih tanpa sebarang kecederaan serius," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Keramat, Langkap hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, isterinya, Farah Ain Salim, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta dinaiki terbabit dalam nahas empat kenderaan.
Kemalangan yang berlaku berhampiran Klinik Desa Tanjung Keramat itu turut mengorbankan pemandu kereta, Fuziyah Sarjuni, 62, yang juga ibu saudaranya dan seorang lagi penumpang, Faridah Md Nayen, 38, sedang sarat mengandung 35 minggu.
Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.
Menceritakan kejadian itu, Mohd Aziz berkata, arwah sepatutnya membawa bayi mereka untuk pemeriksaan di klinik hari ini, namun secara kebetulan jirannya iaitu Allahyarham Faridah mahu membuat pemeriksaan sama di klinik itu semalam.
"Dia cakap alang-alang jiran nak 'check up', eloklah dia ikut sekali, jadi tak perlu pergi ke klinik banyak kali, jadi saya benarkan dia pergi bersama ibu saudara.
"Tak sampai lima minit, ada ambulans lalu lalang depan rumah, saya yang kebetulan nak ke Langkap sempat ikut ambulans itu dari belakang tanpa mengetahui ia membawa mangsa kemalangan yang melibatkan isteri saya," katanya.
Menurutnya, dia dan isteri sudah lebih setahun tinggal bersama Allahyarham Fuziyah di rumah itu memandangkan ibu saudaranya duduk seorang diri.
"Hubungan arwah isteri dan ibu saudara memang rapat, macam anak dan mak, apa pun saya reda dengan kejadian ini dan tetap bersyukur kerana anak kami masih selamat, dialah satu-satunya anak kami," katanya yang membina kehidupan bersama arwah sejak 2015 lagi.
Jenazah Farah Ain dan Fuziyah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Changkat Petang jam 12 malam semalam.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemandu lori babit nahas empat kenderaan direman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!