Mangsa kemalangan duduki ujian UPSR di hospital
KUALA TERENGGANU - Mangsa kemalangan jalan raya sejak tiga bulan lalu antara lima calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini.
Muhammad Safuan Adam Hakimie Safiran, 12, dari Marang mengalami patah kaki akibat kemalangan jalan raya pada 7 Jun lalu bersama bapa saudaranya.
Menurut bapanya, Safiran Mat Sal, 40, anaknya yang juga murid Sekolah Kebangsaan Bukit Sawa itu terpaksa 'berkampung' di hospital sejak kemalangan berkenaan kerana mengalami jangkitan kuman pada kakinya.
"Sejak kemalangan itu, dia tidak dapat ke sekolah, jadi dia belajar sendiri. Mujurlah ada cikgu di hospital ini yang datang membantunya belajar.
"Walaupun terpaksa mengambil peperiksaan di hospital, saya harap dia dapat menjawabnya dengan baik.
"Terima kasih juga kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan HSNZ kerana menyediakan tempat yang selesa untuk anak saya dan yang lain untuk mengambil peperiksaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Matsor Ismail berkata, seramai 20,619 calon menduduki peperiksaan UPSR di negeri ini, membabitkan sebanyak 375 pusat peperiksaan bermula hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 19,795 calon dari sekolah kebangsaan (SK), 320 calon dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan seramai 504 calon dari sekolah rendah swasta yang menduduki peperiksaan kali ini.
Kuala Terengganu mencatatkan jumlah calon tertinggi iaitu seramai 4,269 orang, manakala Setiu mencatatkan jumlah calon paling sedikit iaitu seramai 1,211 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!