Jawatankuasa khas kaji masalah lembu terbiar
SEREMBAN – Kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji masalah lembu terbiar yang menjadi ancaman kepada pengguna jalan raya.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong, pihak berkuasa tempatan (PBT), pegawai undang-undang dan jabatan veterinar.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan mengkaji peraturan, perundangan dan jumlah kompaun bersesuaian untuk dikenakan kepada penternak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di kawasan tidak sepatutnya.
“Kita serius dalam perkara ini kerana sekarang kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan meningkat sehingga ada yang kehilangan nyawa. Terbaru ada dua kes di kawasan Jempol.
“Isu ini menjadi masalah kepada PBT kerana bila penguatkuasaan dilaksanakan, kos bagi setiap operasi yang terpaksa ditanggung PBT lebih tinggi iaitu RM3,000 berbanding nilai kompaun RM200 dikenakan kepada pemilik,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, jumlah kompaun RM200 ditetapkan ketika ini terlalu rendah dan mungkin dilihat tidak terlalu membebankan pemilik.
Menurutnya, tindakan itu diambil bagi memastikan penternak lebih bertanggungjawab sekaligus mengelak berlaku lagi kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan.
“Dengan kadar RM200, mereka rasa boleh bayar bila-bila masa kerana kita tahu harga lembu cukup mahal sekurang-kurangnya RM4,500 seekor. Setakat bayar RM200, mereka mampu.
“Lagipun bukan mudah untuk anggota penguatkuasa mengangkut lembu-lembu ini ke dalam lori ketika operasi dan mereka juga berdepan risiko. Ini antara perkara yang kita harus ambil perhatian,” katanya.
Sebagai percubaan, Aminuddin berkata, pihak PBT memasang akan ‘tag’ pada lembu ternakan di kawasan Nilai bagi memudahkan usaha mengesan pemiliknya.
Katanya, ini susulan terdapat pengusaha yang enggan mengaku haiwan ternakan milik mereka apabila berlaku sesuatu kejadian tidak diingini.
“Ia sebagai percubaan dan jika berkesan, kita akan selaraskan di semua PBT termasuk soal perundangan lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!