Setiap seorang terima RM100
TANGKAK - Sebanyak RM9,000 nilai diperuntukkan oleh pejabat Adun Serom kepada 90 murid dan pelajar sekolah yang terpilih bagi Program Back To School.
Adun Serom, Dr Ir Faizul Amri berkata, sumbangan bernilai RM100 setiap seorang itu, berkonsep bebas untuk mereka berbelanja apa sahaja peralatan atau barangan sekolah sebagai persediaan memulakan sesi berkenaan.
Menurutnya, meskipun pertama kali dianjurkan, namun beliau berpuas hati kerana mendapat kerjasama semua pihak terutama Ketua Kampung di Dun Serom yang berusaha mencari keluarga kurang berkemampuan termasuk murid dan pelajar yang merupakan anak yatim atau Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Dengan belanja RM100 ini, penerima boleh beli apa sahaja keperluan sekolah yang mereka mahukan. Tujuannya adalah nak membantu meringankan beban ibu bapa tatkala keadaan ekonomi yang masih belum stabil.
“Kita berasa bertanggungjawab untuk menyumbang sedikit kelengkapan persekolahan murid dan pelajar terpilih yang berada dalam Dun Serom ini,” katanya.
Ujar Faizul Amri, pihaknya akan sedaya upaya memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di situ sebagai menghargai kepercayaan mereka memilih beliau.
“Kita cuba nak bawa konsep dari rakyat kepada rakyat. Macam kami pemimpin yang dipilih rakyat, jadi apa yang kita nak lakukan adalah memastikan rakyat turut sama memperoleh hasil yang dicapai oleh kerajaan hari ini.
“Meskipun dalam skala kecil, namun imbuhan itu akan dirasai kepada semua masyarakat dalam konsep besar suatu hari nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!