Pemandu e-hailing ada masa lima minggu lagi
PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan memberi peringatan kepada pemandu e-hailing yang masih belum memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) supaya berbuat demikian segera sebelum penguatkuasaan ke atas perkhidmatan itu dilaksanakan pada 12 Oktober depan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sehingga 3 September sebanyak 86,789 calon telah berdaftar dan menghadiri kursus PSV dan daripada jumlah itu sebanyak 55,673 pemandu telah lulus ujian dan berjaya dilesenkan.
“Mereka masih ada kira-kira lima minggu lagi untuk memenuhi keperluan ini sebelum undang-undang berkenaan penguatkuasaan e-hailing ini dimulakan.
“Kita telah berikan masa yang mencukupi kepada semua pemandu e-hailing untuk memenuhi syarat ini, jadi saya harap tidak ada lagi sebarang aduan mengatakan kita tidak beri cukup masa dan peringatan dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh sebulan kira-kira 30,000 pemandu telah lulus ujian dan dilesenkan PSV selepas pengumuman pemandu e-hailing diberikan masa tiga bulan pada 12 Julai lalu.
“Ketika itu cuma ada lebih kurang 20,000 pemandu yang mendaftar dan memiliki lepas PSV dan dalam tempoh sebulan ini sahaja kita peroleh 30,000 tambahan pemandu yang berdaftar dan lulus ujian tersebut.
“Maksudnya proses tidaklah sukar memandangkan dalam tempoh sebulan sudah ada 30,000 yang memperoleh lesen PSV,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemandu Grab diberi 3 bulan patuhi syarat operasi
Pemandu e-hailing tak patuh peraturan berdepan tindakan tegas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!