Kedah berusaha langsai hutang besar
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengakui tertekan dengan hutang-hutang besar kepada kerajaan Persekutuan yang diwarisi dari kerajaan negeri sebelumnya dan berusaha untuk menyelesaikannya secara sedikit demi sedikit.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri mengharapkan ihsan dari kerajaan Persekutuan agar bersikap mesra terhadap negeri yang berpendapatan rendah seperti Kedah antaranya yang berkaitan dengan tanah, air, pelupusan sampah dan sebagainya.
Menurutnya, sebagai contoh hutang berkaitan penyediaan kemudahan air di negeri telah melebihi RM1.8 bilion dan pihaknya kini sedang berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk menurunkan kadar tersebut selepas mendapati sebahagian infrastruktur air dibina di kawasan pedalaman.
"Amalan biasa adalah pembinaan infrastruktur air yang dibina di pedalaman ataupun kawasan desa adalah berbentuk geran dan bukannya pinjaman.
"Perkara seperti ini sedang dirunding dengan kerajaan persekutuan dan kadar hutang itu menurun namun belum boleh diumumkan lagi kerana ia belum berada pada tahap yang boleh diterima kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz berkata, sebagai negeri berpendapatan rendah, pihaknya berharap pihak-pihak berkaitan dapat mempertimbangkan perkara itu dan ia akan dibincangkan bersama menteri-menteri berkaitan dalam pertemuan akan datang.
Beliau berkata, jika mengikut amalan lama, hutang besar tersebut tak pernah dibayar dan Kerajaan Kedah pada hari ini tidak mahu meneruskan pendekatan tidak sihat itu.
"Jadi kita harap kerajaan Persekutuan memahami dan dapat membantu negeri agar pada waktu yang sama kami dapat membayar hutang tersebut walaupun sedikit demi sedikit," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan Kerajaan Kedah turut berjaya mencapai persijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah Sijil MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System yang berkait dengan perancangan pembangunan negeri, pengurusan perolehan, penawaran rumah, pengurusan sumber manusia, pembangunan projek sukan dan khidmat pusat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!