Akta khas untuk pengamal media
KOTA BHARU - Kerajaan disaran mewujudkan satu akta khas untuk melindungi pengamal media daripada menjadi mangsa manipulasi oleh pihak lain.
Presiden Kelab Wartawan Kelantan Darul Naim (Kemudi), Azran Fitri Rahim berkata, wartawan berperanan untuk melapor dan mendedahkan pelbagai isu dalam negara ini.
Bagaimanapun katanya, wartawan tidak pernah dilindungi dan terdedah kepada pelbagai cabaran dan berdepan pelbagai risiko.
“Kita mahu kerajaan wujudkan akta khas atau majlis khas untuk lindungi wartawan yang menjalankan kerja setiap hari untuk melaporkan berita, pendedahan atau penyiasatan sesuatu isu.
“Untuk itu kita berdepan pelbagai risiko dan tidak dilindungi. Orang yang berduit boleh manipulasi wartawan dan saman di mahkamah walaupun ia tidak realistik. Banyak masa dan wang terbuang empat lima tahun naik mahkamah sedangkan ia tak ada apa-apa pun sebenarnya.
“Ini yang kita mahukan agar kerajaan lindungi wartawan dalam menjalankan tugas hakiki mereka agar tidak mudah diambil tindakan sewenang-wenangnya oleh pihak lain bila kita dedahkan sesuatu isu. Ia bukan bermaksud untuk jadikan wartawan kebal sebaliknya untuk lindungi wartawan seperti mana kerjaya lain,” katanya.
Beliau berkata kepada Sinar Harian pada Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan (MAKK) 2017 di Dewan Seri Tunjong, Jabatan Pendidikan Kelantan, di sini.
Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Ibrahim bersama Tengku Puan Laksamana Datuk Seri Diraja Sharifah Azwan Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Hadir sama Ketua Pengarah Eksekutif Tunas Duta Cemerlang Sdn Bhd, Hafizuddin Hiew; Ketua Pegawai Operasi Tunas Duta Cemerlang Sdn Bhd, Al-Arabi Mohamed; Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Pendidikan Kelantan, Muhammad Zahari Othman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!