Proses urus niaga LKM dikaji elak ketirisan

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kiri) berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid semasa hadir pada sidang media di kementeriannya hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kiri) berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid semasa hadir pada sidang media di kementeriannya hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan sedang meneliti inisiatif baharu yang bersesuaian termasuk menggunakan sistem maklumat dan teknologi sedia ada bagi proses urus niaga Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang didakwa mengalami ketirisian, kata Menterinya Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan agar mekanisme yang dipilih itu nanti tidak membebankan rakyat terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

“Kita akan lihat inisiatif-inisiatif lain seperti mengintegrasi sistem maklumat kastam dengan sistem mySIKAP dan juga pindaan untuk memperketat undang-undang bagi membuat penguatkuasaan dan pendakwaan kepada pemilik kenderaan yang memperbaharui LKM di luar kawasan mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Siew Fook turut diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat sindiket yang menjadi orang tengah dalam urusan memperbaharui cukai jalan kenderaan Semenanjung menggunakan kadar cukai jalan Labuan yang bayarannya jauh lebih murah.

Beliau berkata, perkara itu sedang diteliti pasukan petugas khas yang ditubuhkan JPJ dan kementerian dan pada masa yang sama akan memastikan isu ketirisan itu ditangani tanpa menyusahkan pemandu dan pemilik kenderaan.

Semalam, JPJ mendedahkan ketirisan kutipan hasil daripada urus niaga LKM di negara ini mencecah RM50 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, dengan lebih 50 peratus urus niaga pembaharuan LKM yang dibuat di Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi membabitkan kenderaan yang didaftarkan serta digunakan di luar wilayah berkenaan.

“Sementara kita membuat kajian ini saluran untuk memperbaharui cukai jalan masih berjalan seperti biasa,” kata Loke.

ARTIKEL BERKAITAN: JPJ tubuh pasukan khas atasi ketirisan kutipan hasil LKM

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!