Hilang deria rasa selepas cabut gigi bongsu

Komplikasi berlaku ketika prosedur mencabut gigi bongsu Gajewski pada 2013. (Gambar hiasan)
Komplikasi berlaku ketika prosedur mencabut gigi bongsu Gajewski pada 2013. (Gambar hiasan)
A
A
A

SINGAPURA - Seorang ketua cef memperoleh pampasan sebanyak SG$105,000 (RM318,583) selepas terpaksa menanggung kesakitan dan kehilangan kerja akibat kehilangan deria rasa selepas gigi bongsunya dicabut.

Menerusi laporan The Straits Times, warga Australia, Pawel Gajewksi yang bekerja di Kelab Tippling di Singapura bertindak menyaman doktor gigi, Lee Tong Lynn.

"Sepatutnya ia prosedur yang mudah sebaliknya bertukar kepada sesuatu yang malang hingga memberi kesan kepada kerjaya seorang cef," kata Timbalan Pendaftar, Hairul Hakkim dalam penghakimannya pada Selasa.

Kes berkenaan adalah yang pertama melibatkan tuntutan susulan kesakitan yang ditanggung akibat masalah gigi bongsu yang mencecah SG$30,000 (RM91,023).

Kejadian berlaku pada 23 April 2013 apabila Gajewski menemui Dr Lee untuk mencabut gigi bongsunya.

Bagaimanapun, berlaku komplikasi ketika prosedur berkenaan hingga mengakibatkan cef berusia 32 tahun itu cedera pada saraf lidahnya.

Kecederaan itu menyebabkan Gajewski tidak dapat menjalankan tugas sebagai seorang cef kerana tidak dapat merasa juadah yang dimasak.

Menurut Hairul Hakkim, peluang untuk pulih adalah tipis.

Artikel Berkaitan:

Gajewski bekerja sebagai cef profesional sejak berusia 19 tahun di beberapa restoran terkemuka di seluruh dunia seperti Noma di Copenhagen, Guy Savoy dan Le Atelier di Paris.

Susulan kejadian malang itu, Gajewski meletak jawatan dari Kelab Tippling pada Disember 2015 dan pulang ke Melbourne sebelum memulakan perniagaan khidmat rundingan bagi mereka yang berminat membuka restoran pada Februari 2018.

Gajewski memperoleh SG$75,000 (RM227,559) kerana kehilangan punca pendapatan seperti hujah peguamnya, Kuah Boon Theng dan Samantha Oei.

Menerusi prosiding itu juga cef berkenaan mendapat SG$2,066 (RM6,268) untuk perbelanjaan perubatan dan pengangkutan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!