'Pertunjukan terakhir' mesej terakhir Mejar Zahir

Rusunjan Mohamad, 57, ibu kepada Allahyarham Mohd Zahir Armaya ketika menuntut jenazah anaknya di Hospital Queen Elizabeth, hari ini. - Foto BERNAMA
Rusunjan Mohamad, 57, ibu kepada Allahyarham Mohd Zahir Armaya ketika menuntut jenazah anaknya di Hospital Queen Elizabeth, hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KOTA KINABALU - “Pertunjukan terakhir” merupakan mesej terakhir Mejar Mohd Zahir Armaya kepada ibunya Rusunjan Mohamad, menerusi aplikasi WhatsApp semalam sebelum pegawai komando itu terkorban akibat terkena tembakan di Kem Lok Kawi di sini hari ini.

Rusunjan, 57, berkata arwah yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu turut menyatakan hasrat untuk bertemu dengannya dan keluarga dekat Tuaran malam ini.

“Sejak seminggu dia di sini, belum dapat berjumpa dengan arwah. Kalau saya kata mahu pergi berjumpa di sana (Kem Lok Kawi) dia masih sibuk.

"Jadi hari ini, dia punya acara terakhir petang. Dia ada menghubungi saya lebih kurang jam 7 pagi tadi, dia kata, dia akan pergi membeli buah tangan untuk anak dan isterinya dahulu dan selepas itu baru datang ke rumah.

“Itu perancangannya. Kali terakhir saya bertemu dia pada bulan Ogos sewaktu saya datang ke Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 di sini selepas kejadian itu.

Mejar Mohd Zahir, 36, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infrantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di kem tersebut pagi tadi.

Beliau yang merupakan pegawai komando dari 11 Grup Gerak Khas (11 GGK) meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi tadi di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu.

Allahyarham, anak kepada pelakon serta pelawak veteran AR Badul, bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur. Allahyarham mempunyai lima anak berusia antara lima bulan hingga sembilan tahun.

Artikel Berkaitan:

Rusunjan menerima maklumat mengenai insiden itu pagi tadi ketika sedang berada di pasar untuk membeli barang keperluan memasak bagi menyambut kehadirannya ke kampung malam ini.

“Saya tahu dia ada membuat latihan di sini. Saya sentiasa berhubung dengan dia dan selalu memberi nasihat supaya berhati-hati. Saya reda dengan kejadian ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rusunjan berkata, mereka dimaklumkan jenazah arwah akan dibawa ke Masjid As-Salam Kem Lok Kawi sebelum diterbangkan ke Semenanjung pada 9 malam ini dan akan dikebumikan di Perak.

Jenazah arwah telah dibawa ke Masjid As-Salam di Kem Lok Kawi kira-kira 5.30 petang tadi.

Sementara itu, bapa saudara arwah, Mirdat Mohamad, 54, berkata, mereka sekeluarga berharap siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu berlaku.

“Kami mahu kalau boleh pemergian arwah ini dapat pengadilan yang baik, dapat siasatan yang baik, kalau ini satu kesilapan, mudah-mudahan kesilapan ini tidak berulang di masa depan.

“Kami serahkan perkara ini kepada pihak polis dan tentera. Kami mahu siasatan dijalankan dengan lebih terperinci dan kamu mahu tahu punca sebenarnya macam mana kejadian ini berlaku,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!