Bayi mati selepas ibu kerat jari tambahan
NEW DELHI - INDIA. Seorang wanita di daerah Khandwa, Madhya Pradesh bertindak memotong lebihan jari pada tangan dan kaki bayinya kerana bimbang kecacatan itu mampu menjejaskan peluangnya untuk berkahwin apabila dewasa kelak.
Polis berkata, bayi malang yang lahir pada 22 Disember itu mempunyai enam jari di kedua-kedua belah tangan dan kaki, meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.
Difahamkan, kubur bayi itu telah digali semula dan mayatnya diperiksa selepas kejadian tersebut dilaporkan oleh media.
"Siasatan mendapati wanita dari perkampungan miskin Sundardev itu menggunakan sabit untuk memotong lebihan jari bayinya.
"Selepas itu, wanita terbabit menyalut luka pada tangan dan kaki bayinya menggunakan najis lembu.
"Bayi malang itu mati beberapa jam selepas jari-jari tambahannya dikerat, sebelum dikebumikan," kata jurucakap polis, Ruchi Vardhan Mishra.
Tambahnya, kepercayaan karut juga mendorong wanita terbabit bertindak sedemikian.
Katanya, tiada tangkapan dibuat setakat ini kerana menunggu siasatan dalaman selesai dijalankan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!