Pahang wujud Jabatan Wanita negeri

Shahaniza dilantik menjadi Pengerusi Jabatan Wanita Pahang.
Shahaniza dilantik menjadi Pengerusi Jabatan Wanita Pahang.
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan Pahang mewujudkan Jabatan Wanita negeri bagi merancakkan dan membantu aspek pembangunan golongan hawa terutama di kawasan luar bandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara dasarnya jabatan itu melibatkan 11 perjawatan dan akan bekerjasama dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baharu ditubuhkan iaitu Majlis Wanita Pahang.

Majlis itu akan dipengerusikan wanita tunggal dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pahang iaitu Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Exco Kebudayaan, Perpaduan dan Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

"Kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan geran tahunan kepada Majlis Wanita sebanyak RM140,000 kepada 14 kawasan Parliman di seluruh negeri yang membolehkan setiap kawasan menjalankan aktiviti sendiri.

"Ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkasakan wanita dalam pelbagai bidang termasuk memberi peluang sama rata kepada golongan ini untuk sama-sama membangunkan negeri," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita peringkat Pahang di Dewan Dato' Zaharuddin Kassim di sini hari ini, yang turut dihadiri Shahaniza dan kira-kira 1,000 wanita dari seluruh negeri.

Menurutnya, rakyat Pahang amat bertuah kerana mempunyai ikon wanita terulung negara iaitu Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Tengku Ampuan Pahang.

"Rakyat Pahang sudah pasti tidak dapat melupakan bagaimana setiap kali musim tengkujuh, Seri Paduka tidak pernah jemu berkenan mencemar duli mencurah tenaga dan turun padang untuk memasak kepada mereka yang diuji dengan bencana itu.

Artikel Berkaitan:

"Baginda memang terkenal dengan bakat memasak dan menariknya di Pahang, air tangan baginda sering dikongsi dengan rakyat jelata," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!