Tak boleh jalan macam manusia normal

Sivakumar bersama isteri ketika berbelanja persekolahan dua anaknya hasil sumbangan HPSF di Pasaraya Besar Giant, baru-baru ini.
Sivakumar bersama isteri ketika berbelanja persekolahan dua anaknya hasil sumbangan HPSF di Pasaraya Besar Giant, baru-baru ini.
A
A
A

MUAR - Seorang bapa tidak menyangka sakit urat di bahagian tengkuk yang pada mulanya dianggap simptom salah tidur sebenarnya petanda kepada penyakit saraf.

T Sivakumar yang pada mulanya menganggap keadaan itu normal, tidak menjangka kesakitan dialami merebak ke seluruh anggota badan menyebabkan dia gagal berjalan seperti manusia normal.

Justeru katanya, dia hanya mampu menggerakkan anggota kaki sedikit demi sedikit dan terpaksa berjalan secara perlahan dengan postur badan dan kepala dalam keadaan menegak.

Selain itu, lelaki ini juga kini tidak mampu lagi menoleh kepala ke kiri dan kanan seperti kebiasaannya apabila sakit di tengkuk itu mulai menyerangnya secara berperingkat

Menceritakan keadaan yang dihadapi, Sivakumar, 40, berkata rasa sakit itu mulai mengganggu sejak 2012 apabila urat di bahagian tengkuk terasa seperti mencucuk sewaktu bangun tidur.

“Beberapa minggu sakit di tengkuk tak hilang dan sepanjang tempoh itu juga saya tak boleh pusing kepala ke kiri. Tapi saya anggap ia simptom salah tidur jadi saya tak begitu risau.

“Bagaimanapun, selang tiga minggu, urat tengkuk di sebelah kanan pula rasa benda yang sama. Saya kemudian membuat pemeriksaan imbasan X-ray dan MRI di hospital,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, doktor kemudian mengesahkan dia menghidap penyakit ankylosing spondilitis iaitu sejenis penyakit saraf yang jarang menimpa.

Artikel Berkaitan:

“Bukan setakat sukar nak bergerak, malah badan saya pun kerap kebas selain berasa sakit di seluruh badan hingga ke kepala.

“Bila keadaan macam tu, saya kena berehat segera sebab khuatir saya pengsan. Sehingga kini setiap kali nak bangun daripada tidur, saya perlu melakukan senaman regangan selama 30 minit sambil berbaring sebelum terus bangun daripada katil,” katanya.

Sivakumar berkata, ekoran penyakit yang dialaminya itu, dia terpaksa berhenti kerja.

Bagaimanapun, itu bukan penghalang untuk Sivakumar berhenti menyara keluarga apabila dia kini berusaha membantu isteri membuat kuih di rumah.

“Sebab saya tak boleh nak bekerja di luar, maka isteri bantu ambil alih membuat kuih selain upah menjahit. Manakala, saya pula akan sentiasa bantu isteri buat kuih kerana itu sahaja yang mampu saya lakukan.

“Nak memandu kereta pun tak boleh. Mujur isteri boleh pandu. Jadi banyak urusan tiga anak saya berusia tujuh, lima dan tiga tahun dibantu oleh isteri (K Citra, 32) ” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia.

Terdahulu, dua anak pasangan ini terpilih sebagai penerima program Jom Kembali ke Sekolah anjuran Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dengan kerjasama daripada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia dan Ahli Lembaga Pelawat HPSF.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!