Kim Boon terharu rakan Melayu beli lukisan
KARYA lukisan tidak mengenal bangsa dan agama. Begitulah apa yang dirasai oleh pelukis berketurunan Cina ini. Ketika dia berada dalam keadaan susah, muncul seorang rakan Melayu yang menghulurkan bantuan dengan membeli lukisan yang dihasilkannya.
Bagi pelukis Yap Kim Boon, seni lukisan melangkaui sempadan dunia tanpa ada perbezaan budaya. Dia berasa bertuah kerana dapat berkenalan dengan mereka yang menghargai hasil titik peluh yang diusahakannya.
Berkecimpung dalam dunia lukisan sejak 20 tahun yang lalu, Kim Boon merasakan kehidupannya sebagai pelukis tidak menjanjikan apa-apa. Namun perasaannya tetap gembira kerana melalui karya lukisan, dia dapat membina tali persahabatan dengan rakan-rakan daripada kalangan bukan Cina.
“Ramai rakan Melayu memuji lukisan saya. Ketika saya dalam keadaan susah, mereka datang memberi bantuan kepada saya sambil berharap akan ada lebih ramai orang yang mengenali saya,” kata Kim Boon.
Pada awal tahun ini, Kim Boon dihubungi seorang pengumpul barang antik Melayu dengan menjemput dia mempamerkan karya lukisan kepada kenalannya di sebuah restoran. Dia setuju dengan pelawaan itu.
Tanpa disangka, dalam majlis pameran lukisan itu, hasil lukisan Kim Boon telah menerima sambutan luar dugaan apabila sebanyak empat karyanya dibeli pengunjung dan dengan wang itu digunakan sebagai perbelanjaan sepanjang tahun.
Lebih mengejutkan Kim Boon lagi ialah rakan Melayunya itu telah membeli semua lukisannya yang belum dijualnya.
“Saya begitu terkejut dan gembira apabila dia setuju membeli lukisan saya dan terus menghulurkan cek kepada saya,” kata Kim Boon yang cukup terharu dengan keikhlasan rakannya itu.
Menurut Kim Boon, sepanjang kariernya sebagai pelukis, dia juga dapat mengenali ramai rakan-rakan bukan Cina yang membantunya menganjurkan pameran lukisan dan tidak kurang juga yang datang memberi sokongan.
“Rakan-rakan saya terdiri daripada Cina, Melayu, India dan warganegara asing.
“Kerana seni lukisanlah kami dapat berkenalan dan saling menghormati antara satu dengan lain,” katanya.
Kim Boon memberitahu, sesetengah rakan Melayunya gemar lukisan bertemakan kebudayaan Cina manakala rakan Cina pula suka lukisan bertemakan baba dan nyonya.
“Inilah keistimewaan Malaysia yang mewujudkan persamaan melalui seni lukisan.
“Saya ada seorang rakan Melayu yang mengusahakan barangan seni tembikar. Walaupun kami terlibat dalam bidang kesenian yang berbeza tetapi kami sentiasa berbual panjang kerana mempunyai minat terhadap bidang seni,” katanya.
Sempena Hari Kebangsaan tahun ini, Kim Boon mengadakan pameran lukisannya bermula pada 27 Ogos hingga 7 September ini.
Sebanyak 13 buah hasil lukisannya dipamerkan dengan semua temanya berkisar mengenai Menara Berkembar Kuala Lumpur.
Melalui karya lukisannya, Kim Boon berharap dapat memberi mesej agar negara kita ini terus makmur dan berjaya, dan biarlah dunia mengenali Kuala Lumpur sebagai sebuah kota terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup secara harmoni dan bersatu padu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!