Hobi tanam ros Jepun raih pendapatan lebih RM4,000 sebulan
GUA MUSANG - Bermula sekadar hobi sahaja, seorang suri rumah berjaya meraih pendapatan lumayan hasil tanaman bunga yang menjadi penyeri laman.
Rohana Harun, 33, dari Felda Perasu berkata, dia sendiri tidak menyangka hobi tiga tahun lalu mampu memberi pulangan berlipat ganda.
Kini, hasil pendapatan dari tanaman bunga ros Jepun di halaman rumahnya di tapak seluas 100 kaki persegi itu melebihi RM4,000 sebulan.
"Saya mula berjinak-jinak dalam tanaman ini pada tahun 2016. Ketika itu, saya bermula dengan 10 jenis ros Jepun. Pada tahun 2017, saya mula menjual hasil ini kepada kenalan.
"Kini, saya memiliki hampir 300 jenis ros Jepun berlainan warna dan corak dan mempunyai pembeli di seluruh Malaysia secara atas talian.
"Setiap minggu, saya akan buat pengeposan ke seluruh kawasan dan jualan saya sekitar RM1,000 hingga RM1,500 seminggu," katanya ketika ditemui di laman bunga berkenaan.
Tambah Rohana, dia bersyukur kerana minatnya itu mendapat sokongan daripada suami, Atikullah Mashasan, 36, yang turut sama membantunya dalam pengurusan laman.
"Di daerah ini, saya merupakan satu-satunya penjual ros Jepun dan selain menjual, saya juga turut membeli pelbagai jenis corak baharu dengan rakan-rakan penjual di daerah dan negeri lain.
"Saya lebih suka ros Jepun kerana kepelbagaian warna malah cara penjagaannya juga tidak terlalu rumit. Untuk tujuh keratan, saya jual dengan harga RM2 sahaja.
"Insya-ALLAH, selepas ini, saya dan suami merancang untuk menambah baik kawasan laman ini termasuk menyediakan sistem fertigasi bagi memudahkan kerja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!