Alunan muzik ghazal terus diminati
MUAR - Ramai yang beranggapan lambakan genre muzik pada masa kini berupaya menyepikan alunan tradisional umpamanya muzik ghazal yang berasal dari negeri ini.
Namun, sangkaan itu meleset kerana sehingga kini, alunan irama lama itu terus kekal menjadi penyeri dalam majlis-majlis keraian termasuk majlis bertaraf korporat bertujuan mengekalkan suasana adat Melayu.
Bagi salah seorang pengusaha kumpulan muzik ghazal, Johari Arshad atau lebih mesra di sapa Pak Salleh, 76, berkata, kumpulan Sri Muar Ghazal yang ditubuhkan awal 90-an dahulu masih lagi kekal bertahan.
Pak Salleh yang merupakan antara individu paling lama menyertai ghazal iaitu selama lebih 60 tahun berkata, muzik itu sebenarnya lebih popular pada era sekarang berbanding masa lalu.
“Mungkin ramai menganggap ghazal mulai lapuk berbanding zaman dahulu. Namun ia tidak benar sama sekali kerana apa yang saya dapat katakan muzik ini sebenarnya lebih terkenal pada zaman teknologi kini.
“Pengaruh internet membuatkan orang luar dari Johor turut sama meminati muzik ini.
"Bahkan ramai juga yang memilih muzik ini dalam sebagai penyeri dalam majlis perkahwinan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Pak Salleh, persembahan kumpulannya yang sering dimuat naik dalam pelbagai media sosial secara tak langsung telah mempromosikan muzik itu kepada penduduk di serata negeri.
“Kerana itu saya katakan kumpulan Sri Muar Ghazal kerap menerima undangan dari luar Johor seperti Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Meskipun ia muzik tradisional, namun kami ubah sedikit ke arah lebih moden apabila menggunakan gitar dan organ elektronik agar ia seiring dengan zaman masa kini,” katanya.
Bapa kepada sembilan cahaya mata ini bagaimanapun berkata, penggunaan instrumen moden itu hanya akan digunakan bergantung pada permintaan lagu oleh pelanggannya.
“Jika mereka mahukan lagu-lagu berunsur moden pada masa kini, maka penggunaan gitar elektrik adalah perlu.
“Namun sekiranya pelanggan mahu mengekalkan keaslian muzik ghazal semata-mata, kami tiada masalah untuk menggunakan alatan tradisional sepenuhnya,” katanya.
Meskipun muzik ghazal masih mendapat tempat di hati orang ramai, Pak Salleh dalam pada itu mengakui kebimbangan penglibatan anak muda yang semakin kurang berminat menyertai kumpulan tersebut.
“Buat masa ini, Sri Muar Ghazal mempunyai ahli yang separuh daripadanya diterajui golongan muda berusia bawah 40-an.
“Kami sedar ghazal mungkin sudah tidak menjadi minat anak muda ekoran pelbagai genre muzik kini lebih menjadi pilihan mereka,” katanya.
Namun menurutnya amat rugi kerana muzik ghazal asih mendapat permintaan daripada ramai orang dan sayang sekiranya ia pupus kerana tiada penyambung legasi di masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!