Patriot mahu kualiti jaket kalis peluru disiasat

A
A
A

SHAH ALAM - Siasatan menyeluruh perlu dilakukan terutama jaket kalis peluru yang digunakan oleh Mejar Mohd Zahir ditembusi peluru ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Brigadier Jeneral (Bersara), Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, wujud kebimbangan sekiranya jaket tersebut tidak mencapai tahap kualiti yang diperlukan sehingga gagal menahan peluru menembusi badan.

"Perlu ada siasatan menyeluruh dan jaket itu perlu disiasat mungkin kualiti tidak betul sedangkan kerajaan bayar berjuta-juta ringgit untuk membeli jaket ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Hari ini, Mohd Zahir, 36, yang juga merupakan anak pelakon popular, A R Badul disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth selepas terkena tembakan di bahagian kiri belakang badannya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'ALLAH lebih menyayangi beliau'

Demonstrasi itu adalah sebahagian daripada program pertunjukan yang disusun atur untuk dipersembahkan kepada seluruh warga tentera dan ahli keluarga Kem Lok Kawi.

Ketika kejadian, mangsa yang memakai topeng dan baju kalis peluru melakukan tembakan pertama ke arah rakannya sebelum menerima tembakan dari jarak dekat.

Bagaimanapun, ketika ditembak, mangsa dilihat terjatuh sebelum beberapa anggota tentera menariknya ke tepi untuk diberikan bantuan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamed Arshad berkata, penggunaan peluru hidup oleh anggota komando dalam latihan dan demonstrasi adalah perkara biasa.

"Bagi komando, penggunaan peluru hidup ini memang biasa kerana jika tidak mereka anggap tidak serius dan sekadar main-main namun mereka sangat terlatih dalam mengendalikan senjata," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!