Makanan Sarawak di Melaka?
ALOR GAJAH - Tidak perlu menyeberangi Laut China Selatan untuk menikmati makanan Sarawak, kerana di Restoran Kolok Vs Laksa Sarawak menyajikan menu masakan negeri itu.
Restoran yang beroperasi sejak Januari lalu, menyediakan pelbagai menu menarik seperti laksa sarawak, mi kolok dan mi jawa sarawak dihidangkan bersama daging, ayam ataupun udang.
Hidangan tersebut dimasak menggunakan bahan asli seperti mi kolok basah.
Pengurus Restoran Kolok Vs Laksa Sarawak, Haiyana Roslan, 31, berkata, idea mewujudkan restoran di Jalan Pusat Niaga Gangsa (PNG) Durian Tunggal di sini, direalisasikan setelah mendapat sambutan pelanggan.
Sebelum ini, Haiyana mengusahakan menu terkenal dan tradisi Sarawak secara atas talian dengan membuat penghantaran dari rumah ke rumah.
Resipi warisan keluarga
Menurutnya Haiyana, lebih meyakinkan apabila mendapati ramai anak jati Sarawak yang menetap di negeri ini, selain beliau dan suami yang turut berasal dari Kuching, Sarawak.
Katanya, sekali gus apa yang dilakukan untuk mengetengahkan masakan itu kerana menyedari masih ramai tidak mengenali makanan tradisi Borneo, dalam masa yang sama tidak meminggirkan menu utama Melaka iaitu asam pedas yang boleh didapati di restoran miliknya.
“Jadi resipi yang kami sediakan bukanlah yang direka atau ditiru sesiapa, namun merupakan resipi warisan keluarga dan setakat ini syukur sambutan yang diterima begitu positif.
“Apa yang kami lakukan secara tak langsung mempelbagaikan menu menarik di negeri bersejarah ini dengan menu masakan tradisi Borneo lebih-lebih lagi Melaka terkenal dengan kehadiran pelancong,” katanya.
Nasi ala Borneo
Ibu kepada tiga orang anak ini berkata, bagi pelanggan yang menggemarkan nasi, tidak perlu bimbang kerana disediakan menu seperti nasi goreng dabai, nasi goreng corned beef, nasi lalapan yang disajikan dengan ayam goreng serta ditambah keenakan dan kepedasan sambal ‘homemade’, selain umai udang dan umai sotong.
Menurutnya, untuk membasahkan tekak, tidak perlu khuatir kerana terdapat lebih 10 minuman yang disediakan, selain minuman menjadi kegemaran iaitu ‘teh C peng special’.Kata Haiyana, teh C peng special didatangan dengan lapisan tiga lapisan warna berbeza hasil manis gula apong istimewa dari Sarawak.
Katanya, sejak restoran itu dibuka, sambutan menggalakkan diterima pelanggan terutama pada waktu puncak di sekitar jam 8 hingga 10 malam, malah sering menjadi lokasi ‘reunion’ kelab kereta.
Beliau yang telah menetap lima tahun di Melaka berkata, restorannya turut menghidangkan ayam pansuh.
Menurutnya, restoran yang beroperasi setiap hari dari jam 4 petang hingga 1 pagi yang bertemakan santai menawarkan pelbagai menu dan tarikan tersendiri selain turut menghidangkan hiburan ‘busking band’ yang diadakan setiap minggu kepada para pelanggan.
“Malah esok (hari ini), kami menawarkan menu mi kolok dengan harga istimewa RM2 semangkuk sempena ulang tahun kelahiran saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!