Jangan hina isteri saya: Nadzmi Adhwa
PELAKON Nadzmi Adhwa meminta pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti melabelkan isterinya, Ardell Aryana dengan pelbagai panggilan selepas video mereka membatalkan air sembahyang tular di media sosial.
Jelas lelaki berusia 27 tahun itu, video yang memperlihatkan Ardell, 29, menggeletar tangan, menangis dan hampir sesak nafas itu bukan adegan yang dibuat-buat.
Sebaliknya, Ardell sememangnya menghidap anxiety atau kebimbangan melampau dan tekanan yang agak teruk sebelum ini, serta masih lagi dalam proses pemulihan.
"Kami bukan manusia sempurna, kami cuma manusia biasa yang ade hati. Sebagai seorang suami, tolong jaga hati isteri saya dan jangan gelar isteri saya minah gigil, perempuan parkinson, perempuan cacat.
"Saya tak kisah andai ada yang buat parodi saya dan isteri untuk menjadi bahan gelak tawa nitizen, cuma jangan hina isteri saya.
"Buat pengetahuan semua isteri saya mengidap anxiety serta deppresion yang agak teruk sebelum ini dan masih lagi dalam proses rawatan / pemulihan.
"Anxiety boleh terjadi bila-bila masa sahaja pada isteri saya, bukan hanya pada hari pernikahan kami malah dari sebelum ini lagi.
"Pada hari pernikahan kami, ada terlalu ramai dihadapannya, isteri saya terlalu terkejut sehingga menyebabkan panic attack. Ia boleh mengakibatkan black out, pitam dan sesak nafas," jelasnya dalam satu kenyataan yang dikongsikan menerusi akaun Instagram miliknya.
Tambah Nadzmi, dia mengaku sering berjumpa Ardell sementelah mereka membuat kerja yang sama dalam tailoring dan design.
Bagaimanapun pelakon itu menyifatkan perasaan berkawan dan perasaan bergelar suami isteri itu jauh berbeza.
"Saya pasti detik itu, terlalu berbeza setelah akad dilafaz. Pada hari pernikahan kami berdua memang sangat awkward di hadapan orang ramai untuk sesi batal air sembahyang.
"Gugup berhadapan orang ramai. Semua perasaan lega, takut, gembira, dan sedih bergabung yang menyebabkan kami mengigil untuk masuk ke fasa baru dalam hidup kami dan keadaan pada waktu itu seperti semuanya berubah.
"Kami tidak mampu menghentikan kata-kata negatif dari sesetengah nitizen, tapi saya berharap tolong doakan yang baik-baik dan jangan timbulkan spekulasi sekiranya tidak tahu apa apa atau tidak berada di majlis kami.
"Sedaya upaya saya dan keluarga kami cuba naikkan semangat isteri saya sehingga kami berjaya tempuh pelbagai dugaan sampailah ke detik bahagia ini.
"Saya mohon jagalah hati kami suami isteri, keluarga mertua dan keluarga saya. Segala yang buruk datang dari kami, yang baik datang dari ALLAH SWT. Terima kasih untuk doa yang baik-baik dan terima kasih juga untuk yang sebaliknya," akhirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!