JPJeBid raih bidaan RM1.024 juta
KUANTAN - Nombor pendaftaran siri CEE 7 dan CEE 9 mencatatkan bidaan tertinggi masing-masing sebanyak RM58,000 sejak bidaan siri itu dibuka menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) pada 30 Ogos hingga 3 September lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang, Mohamad Abdullah berkata, bidaan yang berlangsung selama lima hari itu berjaya mengutip hasil sebanyak RM1,024,885 dengan jumlah keseluruhan 424 pembida.
Menurutnya, lapan nombor siri lain yang disenaraikan sebagai top 10 bidaan tertinggi ialah CEE 3 (RM 50,000); CEE 8 (RM44,444); CEE 5 (RM43,100); CEE 6 (RM39,009); CEE 88 (RM31,000); CEE 33 (RM28,000); CEE 4 (RM22,000) dan CEE55 (RM20,000).
"Seramai 904 pembida terbabit dalam bidaan nombor pendaftaran siri CEE berkenaan namun hanya 424 pembida yang berjaya membida.
"Nombor pendaftaran CEE 96 mendapat bidaan paling ramai iaitu 13 pembida dengan harga bidaan tertinggi RM3,800 manakala bagi nombor pendaftaran CEE 11, CEE 33 dan CEE 86 masing-masing 12, 11 dan 10 pembida," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat JPJ Pahang, di sini hari ini.
Mohamad berkata, bidaan nombor siri CEE merekodkan peningkatan 19 peratus jika dibandingkan dengan nombor siri CED iaitu RM895,940.
"Sistem JPJeBid kali pertama diperkenalkan di negeri Pahang dan merupakan negeri kelima melaksanakannya di Malaysia selepas Wilayah Persekutuan, Sabah, Kelantan dan Pulau Pinang yang bermula serentak dengan Johor.
"Proses JPJeBid itu menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dilakukan. Sistem ini juga membantu mempertingkat dan memperkemaskan pengurusan mengenai nombor pendaftaran," katanya.
Beliau berkata, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan Pejabat JPJ Negeri atau cawangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!