46 calon ambil UPSR dalam bilik khas
PASIR GUDANG - Seramai 46 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari lapan sekolah hotspot di Pasir Gudang menduduki peperiksaan dalam bilik khas.
Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, mereka yang ditempatkan dalam bilik khas tersebut merupakan murid yang berisiko mengalami gangguan kesihatan akibat pencemaran udara baru-baru ini.
“Inisiatif membuka bilik khas di setiap lapan sekolah hotspot diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang ketika calon sedang menjawab peperiksaan.
“Bilik khas ini tertutup sepenuhnya yang mana turut dilengkapi pendingin hawa dan dijaga seorang pengawas peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di bilik khas calon UPSR Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih di sini yang mana turut menempatkan sembilan murid semalam.
Aminolhuda berkata, pembukaan bilik khas menjalani UPSR berkenaan juga dilaksanakan berdasarkan kebenaran diberikan ibu bapa para calon menduduki peperiksaan itu.
“Kita kenal pasti ada 12 sekolah dikenal pasti sebagai lokasi hotspot sering berlaku kejadian ini, namun hanya lapan sekolah yang membuka bilik khas ini dengan persetujuan ibu bapa manakala penjaga murid di baki empat sekolah lagi menolak anak mereka menduduki UPSR di bilik khas," katanya.
Pada 28 Ogos lalu, seramai 33 murid SK Taman Pasir Putih dihantar ke klinik berdekatan kerana mengalami gejala muntah dan pitam akibat terhidu bau busuk yang tidak dikenal pasti puncanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, semua pelajar yang terkesan duduk di bilik darjah tingkat tiga dan empat sekolah berkenaan.
Susulan itu, Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang telah mengarahkan kira-kira 11,300 murid Tahun 1 hingga Tahun 5 dari 12 sekolah hotspot insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, supaya bercuti mulai semalam sehingga 11 September ini sebagai langkah berjaga-jaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!