Lelaki maut terjatuh dari tingkat 19 kondominium
BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan kepalanya pecah dipercayai terjatuh dari tingkat 19 di Kondominium Mutiara Bandar Perda, di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mayat lelaki berkenaan ditemui oleh penduduk berhampiran kawasan parkir motosikal kondominium berkenaan dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati mangsa mungkin tertekan disebabkan isterinya merajuk dan keluar dari rumah mereka.
Menurutnya, terdapat saksi yang melihat isterinya keluar daripada rumah bersama anak mereka yang berusia 12 tahun jam 2 petang dan membuatkan lelaki itu tertekan.
"Lelaki terbabit dikatakan tidak dapat mengawal perasaan dan bertindak di luar jangkaan kira-kira enam jam selepas isteri dan anak keluar dari rumah mereka," katanya ketika dihubungi di sini.
Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan yang dilakukan di rumahnya mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku.
Katanya, keadaan rumah berkenaan tidak berselerak manakala tingkap dalam rumah terbabit pula dalam keadaan terbuka.
"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!