Matrade bekerjasama dengan platform e-dagang Timur Tengah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memasukan eRomman.com sebagai rakan usaha sama pasaran dalam talian yang pertama untuk rantau Timur Tengah di bawah program eTRADE.

Matrade dalam kenyataan hari ini berkata, e-dagang dijangka mencatat pertumbuhan yang kukuh di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara berdasarkan hasil kajian baharu oleh Bain & Company dan Google yang membayangkan pasaran akan meningkat lebih tiga kali ganda menjelang 2022 untuk mencapai US$28.5 bilion (kira-kira RM120 bilion).

“Melalui kerjasama itu, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh memanfaatkan program eTRADE untuk merebut kuasa pembelian yang lebih kukuh dalam kalangan pengguna di Timur Tengah.

“Menerusi kerjasama itu, syarikat yang berdaftar di eRomman.com antara lain akan menerima nasihat dan rundingan produk, pendaftaran kedai dalam talian, penyenaraian produk tanpa had, dan pengurus perhubungan khusus, untuk tempoh setahun,” katanya.

Matrade berkata, bahasa utama untuk sasaran pasaran ialah bahasa Arab dengan terjemahan produk, ruang iklan, promosi media sosial dan pengaruh kempen dalam bahasa asal juga termasuk dalam pakej itu.

Sementara itu, pengasas e-Romman.com, Hussain Zawiya berkata, dengan memilih eRomman, PKS Malaysia boleh meneroka prospek bagi jualan produk tempatan untuk pembeli runcit di 22 negara di Timur Tengah menerusi e-pasaran.

“eRomman adalah pasaran rentas sempadan Arab yang pertama di rantau Asean yang menyasarkan untuk menghubungkan penjual dalam talian yang berpangkalan di Malaysia dan rantau ASEAN dengan pembeli dalam talian di Timur Tengah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!