Klinik beroperasi guna pintu belakang disita
BUKIT MERTAJAM - Sebuah klinik di Jalan Arumugam Pillai di sini disita selepas didapati beroperasi tanpa lesen yang sah sejak awal tahun ini.
Dalam operasi jam 11 pagi oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang itu mendapati klinik berkenaan beroperasi melalui pintu belakang.
Difahamkan, klinik berkenaan telah lama beroperasi di pekan Bukit Mertajam di sini, namun pemilik asal telah meninggal dunia awal tahun lalu dan kini klinik berkenaan dikendalikan anaknya.
Bagaimanapun, anak lelakinya yang juga seorang doktor berusia 60-an yang mengambil alih klinik berkenaan tidak memperbaharui lesen dan beroperasi secara tidak sah.
Sementara itu, sumber JKN Pulau Pinang berkata, operasi itu dilakukan selepas pihaknya menerima beberapa aduan sejak awal tahun lalu.
Katanya, pihaknya sudah memanggil doktor terbabit sebelum ini dan memberi penerangan kepadanya supaya memperbaharui lesen klinik berkenaan sekiranya mahu meneruskan operasi di premis itu, namun sehingga kini dia gagal berbuat demikian.
"Walaupun telah diberi peringatan, namun doktor berkenaan dikesan menjalankan operasi dengan membuka pintu belakang di klinik berkenaan.
"Sehubungan itu kita terpaksa menampal notis menghentikan operasi mengikut Seksyen 91(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib mengesahkan yang klinik terbabit terpaksa ditutup kerana beroperasi tanpa lesen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!