'Ibu berleter, mangsa masuk dalam bilik bawa buku'

No Image Caption
A
A
A

KULIM - Jiran kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang ditemukan mati dalam keadaan tergantung di Taman Nenas di sini menceritakan semula detik cemas ketika melihat mayat kanak-kanak berkenaan yang sudah kaku.

Dia yang enggan dikenali itu berkata, ketika itu dia sedang berada dalam rumahnya sebelum mendengar jeritan ibu mangsa berusia 39 tahun.

Menurutnya, dia menyangka berlaku kebakaran di bahagian dapur rumah wanita berkenaan.

"Apabila masuk rumahnya, ibu mangsa dalam keadaan panik minta saya dan suami lihat anaknya dalam bilik. Dia pegang tangan saya bawa masuk ke bilik paling hujung.

"Saya lihat kanak-kanak itu berada dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri. Saya tak mampu nak kata apa waktu itu, terkaku," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Nenas di sini semalam.

Katanya, dalam situasi cemas itu, suaminya segera menghubungi pihak hospital serta meminta bantuan seorang lagi jiran.

"Di katil itu juga saya lihat ada seutas tali diikat, di lehernya juga ada kesan tali. Jiran yang memeriksa nadi mendapati mangsa sudah tiada waktu itu," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 hingga 7 petang semalam, mangsa ditemukan tergantung menggunakan tali kasut yang diikat di sebuah katil dua tingkat.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa sedang bermain bersama adik dan abangnya berusia lapan dan 14 tahun.

Dia berkata, sebelum kejadian, ibu mereka yang berstatus ibu tunggal meleteri mereka sebelum mangsa bertindak berlari masuk ke dalam sebuah bilik dengan membawa buku.

"Tidak lama kemudian, abangnya mendengar sesuatu dari bilik berkenaan. Apabila dia masuk dalam bilik tu, adiknya sudah berada dalam keadaan tergantung dan dia segera menggunting tali tersebut," katanya.

Katanya, mangsa merupakan murid yang baik dan rajin ke sekolah, malah tidak mempunyai sebarang masalah dengan jiran-jiran di taman itu.

Sementara itu Ketua Polis Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Calon UPSR ditemukan mati tergantung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!