Penduduk Pulau Redang disaran ceburi pertanian

Azman (dua dari kanan) bersama Zawawi dan pegawai agensi terbabit ketika melawat Pulau Redang.
Azman (dua dari kanan) bersama Zawawi dan pegawai agensi terbabit ketika melawat Pulau Redang.
A
A
A

SETIU - Penduduk Pulau Redang diminta merebut peluang dalam sektor pertanian yang sesuai di pulau pelancongan itu bagi menambah sumber ekonomi dan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri menggalakkan aktiviti pertanian di semua kawasan termasuk di Pulau Redang.

Menurutnya, walaupun pulau tersebut adalah destinasi pelancongan dan perikanan terkenal, namun sektor pertanian tidak dipinggirkan malah boleh menjadi salah satu sumber ekonomi baharu.

"Kita tidak pinggir sektor pertanian kerana ada kebun-kebun milik penduduk yang terbiar dan tanah kerajaan yang masih lagi kosong.

"Ada peluang sangat luas untuk kita manfaatkan iaitu agro pelancongan memandangkan tanah di sini sesuai dan subur untuk durian musang king,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Dialog Bersama Nelayan Pulau Redang di Balai Raya Kampung Pulau Redang di sini.

Hadir sama Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkifli Amin Yusof dan Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali.

Menurut Dr Azman, golongan wanita turut akan diketengahkan dalam kursus-kursus yang berkait industri asas tani seperti pembuatan satar ikan dan industri hiliran berasaskan perikanan.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, jabatan perikanan akan berusaha mengadakan kursus-kursus jangka pendek bagi memberikan mereka ilmu yang ingin diceburi," katanya.

Mengulas isu kemudahan di jeti, isu tanah, bekalan minyak diesel bersubsidi bagi nelayan dan permohonan pembinaan tukun rekreasi khusus untuk masyarakat Pulau Redang, beliau memaklumkan, perkara tersebut akan diberikan perhatian.

"Setiap perkara yang dikemukakan dengan izin ALLAH ada jalan penyelesaiannya.

"Semua isu dikemukakan ini akan diambil perhatian dan ada beberapa perkara yang akan diambil tindakan dalam masa terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!