Mydin keluarkan produk bebas minyak sawit dari rak jualan
SUBANG JAYA - Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) menyokong gesaan kerajaan untuk memerangi kempen antiminyak sawit apabil mengeluarkan produk dengan label bebas minyak sawit dari rak jualan rangkaian pasar rayanya di seluruh negara.
Pengarah Urusan, Datuk Ameer Ali Mydeen berkata, pelabelan itu yang membawa maksud minyak sawit tidak baik adalah tindakan pemasaran tidak bertanggungjawab tidak akan disokong pasar raya itu
“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, apabila kerajaan membuat keputusan, kita perlu sokong keputusan itu.
"Terutama apabila ada pihak cuba melakukan sesuatu (yang negatif) kepada negara kita, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab untuk kita tidak menyokongnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran karnival 'Sayangi Minyak Sawitku anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia dengan kerjasama Mydin oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ameer berkata, kempen Utamakan Beli Produk Keluaran Muslim adalah tidak wajar biarpun beliau seorang Bumiputera kerana langkah itu tidak sensitif dan naif dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Bagaimanapun, menurutnya semua rakyat sepatutnya menyokong produk Muslim supaya Bumiputera boleh meningkat maju dalam perniagaan sekali gus seluruh negara mendapat manfaatnya dari segi ekonomi.
"Syarikat Bumiputera masih memerlukan bantuan untuk ia menjana keuntungan sebaik sahaja mereka mampu berbuat demikian dan ia akan membantu seluruh negara dari segi rantaian bekalan dan pembuatan," katanya.
Sementara itu, Teresa berkata, langkah berani Mydin mengeluarkan produk dengan label 'bebas minyak sawit' daripada rak jualannya wajar dipuji dan berharap pasar raya dan peruncit yang lain turut mengikut langkah sama.
"Kerajaan Indonesia turut mengharamkan produk makanan dengan label itu seperti diumumkan pada 21 Ogos tahun ini dalam usaha untuk melindungi komoditi itu daripada pemasaran negatif," katanya.
Menurutnya, kementeriannya sudah memaklumkan berhubung kemungkinan mengambil langkah serupa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berikutan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan dan beliau percaya perkara itu sedang dikaji. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!