Stesen minyak penuh dengan Jalur Gemilang!
KOTA BHARU - Penuh dengan Jalur Gemilang. Itu semangat yang mahu ditonjolkan pemilik stesen minyak pertama di Kelantan yang terletak di jalan utama Kota Bharu-Kuala Terengganu di Melor di sini yang dihiasi dengan lebih 100 bendera negara itu.
Stesen minyak milik ahli perniagaan, Datuk Dr Ahmad Omar (MF35) itu juga dihiasi dengan sebuah kereta dan beca antik.
Ahmad, 81, berkata, saban tahun jika Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dia tidak pernah ketinggalan untuk menghiasi stesen minyaknya itu bertujuan menzahirkan semangat patriotisme.
“Hiasan saya bertemakan patriotik seperti meletakkan bendera dalam jumlah yang banyak, mempamerkan kereta antik, beca dan tahun ini disemarakkan lagi dengan kain rentang yang memaparkan barisan 15 bekas Agong dan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Selain itu terdapat juga kain rentang yang bersaiz sama sepanjang 8.2 meter dan 1.5 meter lebar memaparkan enam bekas Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri sekarang Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, kesemua hiasan itu dilakukan sendiri atas dasar cintanya terhadap negara.
“Setiap tahun saya memperuntukkan kos perbelanjaan sejumlah RM8,000 hingga RM10,000 untuk membina dan mencantikkan stesen minyak ini dengan hiasan-hiasan bertemakan semangat patriotik,” katanya.
Tambahnya, ramai yang menerima usahanya itu sebagai sesuatu yang positif dalam memberi penghormatan dan mengangkat martabat negara, namun tidak kurang juga yang mencemuh dan berkata padanya semua yang dilakukan itu hanya satu pembaziran.
“Saya tidak ambil hati apa-apa pun yang dikatakan kerana sememangnya ini cara saya bersyukur hidup aman damai di negara ini dan dapat mencari rezeki kerana kemakmurannya.
“Jadi, ingin saya ingatkan agar setiap daripada kita memainkan peranan yang penting dalam menjaga dan meneruskan keharmonian negara ini. Jangan ada yang cuba merosokkannya dan jangan pula bermain dengan api perkauman,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!