Cheng Hoe puji semangat juang Harimau Malaya

Pemain Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad (tengah) diasak pemain Garuda pada aksi sulung Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad (tengah) diasak pemain Garuda pada aksi sulung Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Jurulatih Skuad Kebangsaan, Tan Cheng Hoe memuji semangat juang ditampilkan pasukannya apabila bangkit melakar kemenangan 3-2 ke atas Indonesia pada aksi sulung Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, malam tadi.

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui skuad kendaliannya yang sebahagian besar dibarisi pemain muda gagal menyerap tekanan dan menyesuaikan diri dengan intensiti perlawanan tinggi di hadapan puluhan ribu penyokong skuad Garuda di awal aksi separuh masa pertama.

Namun persembahan babak kedua perlawanan pemain negara yang lebih tenang dan berani, disifatkan Cheng Hoe sebagai antara persembahan terbaik dan kunci utama kejayaan membawa pulang tiga mata berharga.

“Kita agak gementar kerana ini kali pertama hampir kesemua pemain skuad ini bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno. Satu persembahan terpuji dari setiap pemain terutama pada babak kedua.

"Mereka sangat fokus kepada perlawanan dan tiada perkara lain mereka fikirkan selain bermain dengan begitu baik. Ini satu daripada persembahan terbaik mereka,“ katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini, malam tadi.

Pada aksi itu, pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh yang dimasukkan sebagai pemain gantian muncul wira negara selepas meledak dua gol pada minit ke-37 dan ke-97 selain satu gol disumbangkan pemain tengah Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-65.

Kemenangan ini menyaksikan Malaysia menamatkan badi kekalahan 15 tahun di stadium keramat skuad Garuda itu selepas kali terakhir mencipta kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2004.

Malaysia akan meneruskan kempen kelayakan dengan melayani kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!