'Bagan Datuk satukan kami'
BAGAN DATUK - Tiga anak muda yang sebelum ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain kini menjadi sahabat baik dek kerana mereka berasal dari tempat yang sama iaitu Bagan Datuk.
Lebih menarik, Ezatul Farita Rohawi, 31; Tan Aik Kian, 29, dan A Arvend, 25, tidak pernah menjadikan perbezaan kaum serta agama penghalang untuk mereka menjalin persahabatan.
Bercerita bagaimana persahabatan mereka bermula, Arvend berkata, pada awalnya ketiga-tiga mereka terpilih sebagai Ahli Dewan Belia Perak pada 2017.
Menurutnya, apabila memperkenalkan diri dan tempat tinggal, masing-masing terus rapat kerana berasal dari daerah yang sama.
“Sejak itu kami rapat dan selalu berjumpa sehingga sekarang. Seronok berkawan dengan mereka berdua sebab dah macam adik-beradik.
“Setiap kali ada perayaan, kami akan datang ke rumah masing-masing untuk meraikannya dan belajar sesuatu daripada budaya mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Keakraban tiga sahabat itu bukan sekadar saling mengenali antara satu sama lain tetapi hubungan baik mereka diterjemah untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat.
Arvend berkata, setiap kali perayaan, sama ada Hari Raya Aidilfitri, Deepavali atau Tahun Baharu Cina, mereka bertiga akan kumpul duit membeli barangan keperluan untuk diberikan kepada orang susah.
“Kami bertiga akan bersama-sama berkunjung ke rumah orang yang kurang berkemampuan, tak kira Melayu, Cina dan India di sekitar kawasan Bagan Datuk.
“Antara barang yang kami sumbangkan seperti beras, gula, tepung dan barangan keperluan harian yang lain. Inilah keseronokan kami bertiga lakukan. Bantu sesiapa sahaja yang memerlukan,” katanya.
Menurutnya, walaupun sumbangan diberikan itu nampak kecil, namun mereka gembira melihat senyuman setiap orang yang menerima bantuan itu.
Bercerita mengenai kenangan yang tidak dapat dilupakan, Arvend terkenangkan ketika dia dan Aik Kian menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah Ezatul Farita di Kampung Parit 7, Sungai Sumun di sini.
Katanya, dia dan Aik Kian sanggup beli baju Melayu baharu semata-mata untuk meraikan perayaan itu.“Saya dan Tan (Aik Kian) dapat pengalaman berharga ikut serta aktiviti masyarakat Jawa dipanggil 'monjong' iaitu menghantar juadah hari raya kepada jiran-jiran di kampung itu.
“Kami dapat belajar budaya baru orang Melayu. Pengalaman berharga ini pasti tak akan dapat kalau kami tak berkawan baik,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Arvend, dalam usaha memupuk perpaduan, anak muda berbilang kaum di negara ini perlu diberikan pemahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, perkara itu penting supaya mereka tidak terjebak dalam virus perkauman yang dimainkan oleh segelintir pihak khususnya pemimpin politik bagi meraih undi kaum masing-masing.Mahu berbakti kepada tanah air.
Sementara itu, Ezatul Farita berkata, hubungan mereka menjadi erat kerana persamaan misi iaitu untuk berbakti kepada tanah air terutamanya di Bagan Datuk.
Katanya, mereka mempunyai hala tuju yang sama untuk membantu dalam pembangunan mobiliti sosial terutama belia luar bandar di Bagan Datuk.
Katanya, usaha memupuk perpaduan dalam kalangan belia harus dilakukan lebih awal sejak di bangku sekolah dan di rumah melalui pemahaman yang jitu terhadap Rukun Negara.
“Berpaksikan Perlembagaan yang satu sebagai tunjang kehidupan anak Malaysia, maka perpaduan dan keamanan negara ini pasti terpelihara,” katanya.
Sementara itu, Aik Kian pula berkata, mengenali rakan berbangsa lain bukan sesuatu yang merugikan sebaliknya menggembirakan.
Katanya, perkenalan dengan Ezatul Farita dan Arvend tidak pun menghilangkan identitinya sebagai orang Cina malah menambah kefahaman serta pengetahuan mengenai budaya di Malaysia terutama di Bagan Datuk.
"Pergaulan antara berlainan kaum ini harus dimulakan di bangku sekolah lagi. Malah ibu bapa harus mainkan peranan menggalakkan anak-anak bercampur dengan masyarakat berbilang kaum. Sertailah badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya mereka lebih mudah mesra dan memahami antara satu sama lain.
"Jika perkara itu ada dalam pemikiran setiap rakyat di Malaysia ini, saya yakin tiada siapa lagi yang berani ambil kesempatan memainkan isu perkauman seperti yang berlaku sekarang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!