Bendera simbol kemerdekaan negara
SEBAGAI insan yang terlibat secara langsung dalam dunia sukan khususnya sukan permotoran, penulis pernah melihat pegawai China sanggup berperang sekiranya penganjur menaikkan bendera Taiwan. Atau sekiranya penganjur tersilap memasang lagu kebangsaan negara China.
Malangnya di Malaysia ada pihak dengan sengaja memasang bendera Malaysia dalam keadaan terbalik. Bendera ialah panji-panji negara yang mewakili kekuatan dan pernyataan Malaysia berbilang bangsa.
Bendera ialah simbol kekuatan dan kemerdekaan sesebuah negara. Rasulullah SAW telah menunjukkan pentingnya perkara ini setiap kali mahu memimpin pasukan perang. Hadis riwayat Al-Bukhari [2847] dan Muslim [6299] menyatakan "Sungguh aku akan memberikan al-râyah kepada seseorang, ditaklukkan (benteng) melalui kedua tangannya, ia mencintai ALLAH dan Rasul-Nya, ALLAH dan Rasul-Nya pun mencintainya.”
Bendera juga dikibarkan kali pertama di hadapan Rasulullah SAW ketika penghijrahan. Rasulullah meminta sahabat mengibarkan bendera ketika memasuki Madinah. Peri penting bendera sehingga tercabut serban lantas diikat ke tombak sambil berjalan ke Madinah. Namun bendera tetap berkibar megah.
Semangat kental dan sayangkan Jalur Gemilang telah dinyatakan ALLAH dalam Surah Al-Hujuraat [49:15] maksudnya, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan ALLAH, mereka itulah orang-orang yang benar.”
Jalur Gemilang ialah simbol kejayaan dan kecemerlangan yang perlu dihayati serta dihormati semua rakyat Malaysia andainya mahu meneruskan kejayaan negara.
Bendera Malaysia mewakili 14 jalur merah dan putih sama lebar melintang bermula dengan jalur merah melambangkan keberanian rakyat Malaysia yang tiada tolok bandingnya.
Bahagian atas bermula dengan jalur putih kedua bersilang sehingga jalur putih yang terakhir melambangkan kesucian negara, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.
Warna biru tua atas sebelah kiri menegak dari atas hinggalah ke bawah jalur merah yang kelima itu melambangkan perpaduan rakyat Malaysia, terkandung di dalamnya anak bulan melambangkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia sebagaimana Perlembagaan Malaysia.
Bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 negeri dan Persekutuan. Warna kuning anak bulan dan bintang melambangkan warna Diraja.
Empat warna itu melambangkan keberanian, kesucian, perpaduan rakyat Malaysia dan kemuliaan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama dan ketua negeri di Malaysia.
Daripada aspek kejuruteraan, pemasangan bendera secara terbalik jelas satu penghinaan. Kejuruteraan menitikberatkan ketepatan dan kesempurnaan sesuatu perkara.
Justeru, Jalur Gemilang bukan satu barang permainan. Sekiranya bendera dipermainkan ia bermaksud satu percubaan merosakkan keharmonian di Malaysia.
Keberanian rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran dan membangunkan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan serta inovasi baru, perlu dipertingkatkan demi membangunkan negara setaraf negara maju.
ALLAH Yang Maha Bijaksana (Al-Muqiit) dan Maha Pemberi (Al-Hakiim) mengingatkan manusia dalam Surah Al-Baqarah [2:247] maksudnya, “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya ALLAH telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu.
Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi kekuasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya ALLAH telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan".
Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan ALLAH Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.”
Kesimpulannya, Jalur Gemilang mewakili jiwa rakyat Malaysia yang inginkan keamanan dan keharmonian.
Penulis berpendapat tindakan memasang bendera Malaysia secara terbalik tidak boleh dimaafkan. Aspek kejuruteraan permotoran menyatakan kereta mesti berjalan dengan keadaan tayar di bawah bukannya di atas.
*Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!